Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Wednesday, 6 November 2013

kematian itu adalah sebaik-baik tazkirah

kematian itu adalah sebaik-baik tazkirah



عن ابي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أكثروا من ذكر هاذم اللذات 
(يعني الموت)
 (رواه الترمذي وقال حديث حسن)


Maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakanlah olehmu mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan (iaitu mati).”

(Hadith Riwayat Al-Tirmizi) 
 
 
 
Mengingati mati adalah salah satu ubat kepada hati yang berkarat sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya hati manusia itu akan berkarat seperti mana karatnya besi. Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW bagaimanakah hendak mengubatinya Ya Rasulullah? Maka Rasulullah SAW menjawab: Tilawah al-Quran dan sentiasa mengingati mati.”


Mengingati mati adalah pencuci hati yang paling berkesan. Dari sinilah kita akan memasuki pintu keinsafan dan kesedaran. Marilah kita sama-sama mengambil peluang yang disediakan untuk sentiasa memperbaharui iman sekali gus mempertingkatkannya. Dengan mengingati mati juga akan membuatkan kita membatalkan niat untuk melakukan kemungkaran kepada Allah SWT.


“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian..” kalau kita perhatikan, menjauhkan diri daripada membicarakan soal kematian adalah suatu tindakan yang kurang bijak. Hal ini kerana sejauh mana pun kita melarikan diri, maut itu tetep akan datang menjemput kita. Itu adalah sunnatullah yang tidak dapat kita nafikan dan lari daripadanya.


 Mati juga adalah penutup dan pemutus segala-galanya. Mati akan melontarkan kita ke satu alam, yakni alam kubur, satu tempat transit, sebelum kita dibawa untuk berkumpul di Padang Mahsyar dan dihitung dengan Mizan Allah. Namun ada tiga perkara di dunia yang masih kekal berhubung dengan kita selepas mati. Tiga perkara itu adalah:

·         Sedekah jariah yang kita lakukan, seperti membuat masjid, sekolah, jalan raya dan sebagainya.

·              Ilmu yang bermanfaat yang kita sebar dan ajarkan kepada orang lain dan ilmu tersebut terus diamalkan oleh orang lain.

·              Doa daripada anak-anak yang soleh.


Tiga amal ini akan sentiasa memenuhi kantung pahala kita, walaupun kita telah mati. Selagi mana tiga perkara itu berjalan dan terus digunakan, kita akan mendapat pahala seperti kita membuat amalan tersebut ketika masih hidup. Kematian ini ada dua jenis:

·         Husnul Khatimah (Penamat yang baik)


·         Su’ul Khatimah (Penamat yang buruk)



Mati secara husnul khatimah, yakni suatu kematian dalam keadaan beriman kepada Allah, dengan kehidupannya yang dedikasi mengikuti segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya. Mati secara su’ul khatimah pula ialah mati dalam keadaan ingkar kepada Allah, dengan kehidupannya yang ingkar kepada perintah Allah dan melakukan segala yang Allah larang.  


Jika kita, kita mahu mati yang bagaimana? Hidup itu memang, mati itu pasti. Adakah kita yakin kita boleh bernafas pada keesokan hari dan berbangga akan dosa pada hari ini? Saya tinggalkan persoalan ini buat semua agar kita mampu untuk bermuhasabah diri. Moga iman dan amal tertingkat demi meraih pengakhiran yang baik (husnul khatimah). Wallahu`alam.


p/s: Seorang pujangga ada berkata: “Kehidupan ini ibarat musafir yang berteduh sebentar di bawah sebatang pokok, apabila letihnya hilang, dia akan meneruskan perjalanannya.”

Tuesday, 19 February 2013

Amanah Dalam Kerjaya


Dalam Islam, amanah adalah salah satu sikap terpuji yang jelas dan terang telah dinyatakan bahawa amanah itu sangat penting dalam menjalani kehidupan seharian.
Kepentingan sikap amanah ini dalam kehidupan kita untuk menjadi orang mukmin yang baik amat jelas terbukti di antara 4 sikap terpuji para nabi dan rasul iaitu Siddiq (Benar), Amanah, Tabliq(Menyampaikan) dan Fatanah (Bijak).
 Amanah menuntut kita sebagai Umatnya untuk melakukan apa saja dengan amanah, tidak kira amanah dalam memenuhi tuntutan sebagai Hambanya, sebagai umatnya, terhadap keluarga, masyarakat, diri sendiri dan pekerjaan dilakukannya.
Dalam konteks memenuhi amanah di dalam pekerjaan, pekerja yang bekerja dibayar gaji oleh majikannya perlu sedar ke atas akad (perjanjian) menerima tawaran kerja sebelum ini agar amanah dilakukan dalam pekerjaan tidak terkeluar daripada landasan sebenar mengapa kita menerima pekerjaan yang ditawarkan sebelum ini.
Jika niat kita baik menerima pekerjaan keranaNya, ianya akan melahirkan sikap amanah yang bertapak dihati sampai bila-bila. Tetapi jika niat selain daripada Kerana-Nya, maka sikap amanah yang sepatutnya hadir di dalam hati hamba-Nya akan terhakis dengan kelalian diri kita sendiri, akibat mengkhianati amanah yang diberikan.
Dalam Surah Al-Anfal ayat 27, Allah SWT telah berfirman yang membawa maksud;
"Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui salahnya"
Amanah tidak sekali-kali boleh dikhianati, kalau dikhianati juga akan membawa kesalahan yang sanggat tidak baik untuk diri kita. Pekerja yang tidak amanah misalnya akan melakukan pekerjaan tanpa panduan dan tatatertib yang betul. Setiap perbuatannya di pejabat sedikitpun tidak takut akan menerima balasan daripada Allah SWT. Melakukan kerja tanpa memikirkan kesan jangka panjang dan jika berlakunya pecah amanah atau amanah dikhianati maka ketengan hatinya akan hilang kerana takut akan bayang-bayang sendiri, tidur tidak lena dan pelbagai lagi masalah akan terjadi.
Cabaran maha hebat bagi pekerja di zaman moden yang penuh cabaran kini. kekuatan iman benteng kepada amalan salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya jika beramanah dan berintegriti. Sesungguhnya niat dan minat yang mendalam terhadap pekerjaan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dengan diiringi usaha yang berterusan akan melahirkan sikap amanah dengan sendirinya dalam diri kita tanpa paksaan daripada faktor luaran seperti persekitaran dan desakan ketua jabatan.

Pekerja yang minat dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja yang diamanahkan jelas kita lihat memiliki sifat-sifat seperti rajin, menyiapkan kerja sehingga siap, sentiasa mencari idea dan jalan penyelesaian yang terbaik, tidak berkira masa, tenaga dan wang ringgit, akan berasa bersalah jika kumpulan sasarnya teraniaya, dan dialah orang pertama ke depan membantu jabatan serta sentiasa menepati kehendak peraturan dan prosedur ditetapkan organisasi, akan berjaya di dunia dan diakhirat.
Alangkah indahnya dalam menyelusuri pentadbiran dan pengurusan pekerjaan dalam sesebuah jabatan disulami hati-hati setiap pekerjanya dengan sifat amanah setiap kali melangkah kaki kanan ke pintu pejabat. Bukan sahaja pekerjaan dilakukan mencapai sasaran, memenuhi kehendak pelanggan dan jabatan malahan akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT. Rahmat Allah SWT Pastinya bersama-sama jabatan kita jika semua pekerja memiliki sifat amanah. InsyaAllah.
"Ya Allah yang Maha penyayang, tanamkanlah sifat amanah dalam hati setiap pekerja kami, bukakanlah mata hati kami agar bersikap amanah. Berkatilah setiap pekerjaan yang kami lakukan agar mencapai sasarannya dan memberikan manfaat kepada golongan sasar kami". Amin.

Alangkah Indahnya Jika Pemimpin Menjadi Imam


Belia adalah aset atau harta yang sangat berharga kepada negara. Merekalah tonggak kekuatan negara serta pewaris kepada kepimpinan negara. Bagaimanakah yang dikatakan belia yang mampu memimpin negara?
Mereka adalah belia yang berjaya memimpin diri sendiri. Selain itu, mereka juga mampu menjadi imam dalam jemaah solat, bijak dalam ekonomi, mesra dengan masyarakat, celik dalam bidang politik dan cemerlang dalam menguasai ilmu pengetahuan.
Semua ciri-ciri berikut sebenarnya telah diasuh dan dididik sejak dari zaman kanak-kanak agar mereka menjadi salah seorang belia yang dikatakan mampu memimpin negara.
Mempraktikkan sembahyang berjemaah dalam masyarakat mampu menguatkan sistem organisasi dalam negara. Hal ini dapat dilihat melalui hikmah sembahyang berjemaah, antaranya, merapatkan hubungan rakyat dengan pemimpin dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan penduduk.
Alangkah indahnya jika pemimpin menjadi imam, kerana kekuatan sembahyang berjemaah juga boleh menimbulkan sikap kasih sayang, hormat-menghormati dan menjalinkan persefahaman.
Syarat-syarat untuk menjadi imam sembahyang berjemaah adalah sama dengan syarat untuk menjadi pemimpin dari segi kemampuan menguasai ilmu agama. Seorang imam perlu menguasai bacaan Al-Quran lebih baik daripada makmumnya dan lebih faham perkara berkaitan rukun dan syarak.

Begitu juga pemimpin, seorang pemerintah perlu menguasai ilmu pengetahuan yang mendalam untuk mentadbir negara kerana kuasa menghukum terletak di bahunya. Kejayaan umat Islam sebelum ini adalah kerana mereka mempraktikkan roh sembahyang itu di luar sembahyang.
Dalam sembahyang, mereka merendah diri kepada Allah SWT. Di luar sembahyang, mereka tawaduk, tidak sombong, tidak angkuh atau membesarkan diri.
Mereka sembahyang berjemaah dan patuh kepada imam selagi imam patuh kepada syarat dan rukun. Di luar sembahyang, mereka hidup dalam masyarakat yang harmoni, mentaati pemerintah selagi pemerintah mentaati Allah SWT.
Dalam sembahyang berjemaah juga mereka berbaris dalam satu saf yang tersusun rapi. Di luar sembahyang, mereka berganding bahu dalam organisasi yang teratur untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.
Seseorang yang dianugerahi Allah SWT untuk menjadi pemimpin hendaklah menunjukkan rasa cintanya dalam menyampaikan dakwah Islam kepada bawahannya atau rakyatnya. Dakwah tidak semestinya dilakukan oleh pendakwah, ustaz mahupun tabligh tetapi dakwah juga dipertanggungjawab kepada pemimpin.
Maksud dakwah ialah mengajak individu ataupun masyarakat ke arah yang lebih baik dari setiap sudut ekonomi, politik, sosial, pendidikan, sains dan teknologi serta kesihatan.
Insya-Allah, jika seseorang itu berjaya menjadi imam dalam sembahyang jemaah, maka dia akan berjaya dalam memimpin rakyatnya.

Tip Gembira Sepanjang Masa


Kesegaran dan minda positif hari mampu menambahkan semangat bagi melakukan tugasan seharian. Indahnya Islam membawakan nilai dan motivasi positif bagi umatnya sentiasa ceria dan gembira dalam tugasan seharian.
Perkara terbaik yang boleh dilakukan selepas membuka mata di pagi hari adalah:
1. BersyukurBersyukur kerana anda masih diberi nafas pagi ini bagi melihat matahari dan menghirup segarnya udara kurniaan Allah. Bersyukur juga kerana anda masih diberi kesempatan bagi melakukan dan menjadi yang terbaik dan pastinya lebih baik daripada yang semalam.
2. Tekad Bermotivasi.
Ucapkan dalam hati dan kepada diri yang anda mahu bersemangat sepenuhnya. Dengarkan dan baca bahan bermotivasi sebelum memulakan tugas. Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.
3. Tingkatkan motivasi diri dengan mencari motivasi terbaik. Motivasi harus dijaga. Motivasi sekiranya tidak dipelihara akan menjadikan kita tidak bersemangat.4. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah.Mulakan setiap tugasan yang ingin dilakukan dengan bismillah. Bismillah dapat menjauhkan kita daripada bisikan syaitan dan perasaan was-was.

5. Mulakan hari dengan ubah sikap. Tetapkan apa yang mahu dicapai.
6. Maafkan semua orangSebelum dan selepas bangun daripada tidur, maafkan insan di sekeliling kita. Memaafkan dapat menghilangkan segala kerungsingan dan keresahan hidup. Hati juga akan menjadi tenang dan tenteram apabila kita memaafkan insan lain.
7. Berani dan bersedia untuk berubah dan berhijrah bagi Kecemerlangan Hidup. Sentiasa yakin Allah sebagai pelindung kita. Hakikatnya kita sendiri yang dapat mengubah kehidupan kita.

Sambut 'Valentine Day' Suka-Suka?


Apa istimewanya tanggal 14 Februari? Ia disambut dengan penuh kegembiraan oleh sebilangan besar rakyat dunia pada masa kini. Saban tahun, ramai tertunggu-tunggu akan tibanya tarikh tersebut. Kononnya ia adalah hari kekasih yang mana merupakan detik yang tepat buat pasangan yang hangat bercinta meluahkan rasa kasih dan cinta sesama mereka. Tidak kira dalam bentuk apa sekalipun, asalkan hasrat hati mereka tercapai.
Jika diperhatikan, budaya menyambut hari kekasih ini sudah mendapat tempat dan begitu popular dalam kalangan masyarakat kita termasuklah yang beragama Islam. Ia lebih tertumpu kepada golongan remaja biarpun ada dalam kalangan kita yang sudah berumahtangga sekalipun turut sama meraikan.
Menyimpang
Hari kekasih begitu sinonim dengan pemberian hadiah berupa coklat dan bunga mawar merah. Ia adalah lambang kasih sayang yang sangat istimewa yang diberikan. Bunga mawar dipersembahkan dalam hiasan dan balutan yang cantik manakala coklat pula disampaikan dengan bentuk dan kotak yang menarik sama ada berbentuk hati dan sebagainya. Tidak cukup dengan hadiah, ada yang meraikan dengan makan malam istimewa dan juga 'pembuktian' ketulusan cinta yang dibina. Walaupun ia jauh sekali menyimpang daripada budaya dan syariat umat Islam, namun kerana nafsu, ia dikira 'halal'.
Hari ini, umat Islam terpaksa berhadapan dengan pelbagai bentuk ancaman sama ada dari sudut budaya mahupun agama. Kita telah dijajah dari keseluruhan cara hidup, mentaliti, kelakuan dan juga amalan kerohanian yang sudah boleh dilihat adanya percampuran dengan unsur-unsur dari barat. Jadi, tidak hairanlah jika sambutan yang diraikan oleh golongan kristian turut sama disertai oleh umat Islam yang mudah terpengaruh.
Justeru, hari kekasih langsung tidak ada dalam sejarah Islam. Malah Islam sentiasa bersifat universal dan tidak dibatasi waktu, tempat,objek dan juga motif untuk menunjukkan kasih sayang. Hal ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, "Cintailah saudara se-Islam seperti kamu mencintai dirimu sendiri." (Riwayat Bukhari). Jadi ikutan siapakah hari kekasih ini? Apabila kita leka, kita secara tidak langsung akan meminggirkan suruhan agama dan lebih kepada mengikut hawa nafsu dan mencari keseronokan hidup. Tanpa kita sedar, rupanya kita menyambut hari pemujaan penganut kristian.
Menurut catatan sejarah, pelbagai kisah yang diceritakan mengenai asal usul sambutan hari kekasih ini. Ada yang mengatakan, sebelum abad ke-17 masihi, masyarakat Rom meraikan Hari Valentine pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Manakala dalam penceritaan lain, hari kekasih ini diraikan oleh penganut Kristian yang memuja seorang paderi bernama St. Valentine dengan menganggap beliau seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya. Walau apa pun, jelas sekali ia langsung tiada kaitan dengan hari kebesaran buat umat Islam untuk turut sama meraikannya.
Hati-hati
Allah telah berpesan kepada hamba-Nya, amal buruk jangan dikerjakan tidak kira dalam apa jua bentuk kelakuan sekalipun tetapi manusia sering melakukan sebaliknya. Apa-apa yang dilarang, itulah yang dibuatnya. Sama ada disebabkan ceteknya ilmu agama atau kerana terlalu mengikut hawa nafsu, jawapannya ada pada diri sendiri. Yang pasti, sambutan hari kekasih sudah menjadi trend dan mereka yang tidak meraikannya dipandang kolot dan 'out dated'.

Hakikatnya, sifat manusia ini lemah. Mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang sengaja ingin memusnahkan dan melemahkan pegangan umat Islam. Golongan yang tidak senang dengan kehebatan Islam cuba merosakkan budaya dan akidah walau dengan apa cara sekalipun. Jika kita perhatikan, sebelum tiba tarikh 14 Februari, sebilangan besar media massa di seluruh dunia berlumba-lumba menyiarkan tentang kemeriahan menyambut hari kekasih, pasaraya dan pusat membeli belah pula membuat promosi besar-besaran dari segi hiasan, potongan harga dan juga tayangan filem-filem cinta bagi membesarkan lagi sambutan hari kasih sayang ini.
Sebagai umat Islam yang diwajibkan patuh pada ajaran Islam dan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, tinggalkanlah perbuatan yang sia-sia ini. Ia bukanlah hiburan yang boleh mengembirakan hati kita malah memesongkan akidah. Kita wajar tahu yang beramal mengikut sesuatu yang bertentangan dengan suruhan Allah itu boleh menjejaskan akhlak, akidah dan juga keimanan kita terhadap Allah SWT.
Tiada istilah menyambutnya sekadar suka-suka. Keterlibatan kita dengan sambutan hari kekasih yang jelas khusus untuk golongan Kristian sudah dikira salah, malah jatuh kepada perkara haram kerana menggalakkan pasangan berdua-duaan dan menyalurkan rasa kasih sayang diluar batas syariat. Walau bagaimanapun, bagi yang sudah berkahwin, amat digalakkan berkasih sayang tetapi janganlah membesar-besarkan tarikh 14 Februari sebagai hari yang istimewa buat diri dan pasangan tetapi jadikan setiap hari adalah hari kekasih. Selain memperolehi kebahagiaan, kita juga diberi ganjaran pahala di atas amal kebaikan yang dilakukan setiap hari.

Auratmu, Aib Yang Wajib Ditutup


kewajipan menutup aurat bagi lelaki dan wanita telah disepakati kewajipannya oleh para ulama.
Namun, setakat  mana yang dinamakan 'aurat', terbuka kepada banyak tafsiran, maka ulama'  berselisih pendapat mengenainya.
Perkara yang diperselisihkan ini selagi bersama hujah yang benar daripada tafsiran al-Quran dan al-sunnah sebagaimana manhaj golongan awal, kesemua mereka dalam daerah pahala dan perlu kita hormati.
Mari kita telusuri tentang dalil kewajipan menutup aurat bagi wanita.
Dalil 1: Wajib Bertudung (Khimar) atau Menutupkan Kain Meliputi Kawasan Dada
Firman Allah SWT :              
"Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung." (Surah al-Nur : 31)

Dalil 2: Tutuplah Kecuali Muka dan Tapak Tangan
Hendaklah pakaiannya itu menutup seluruh tubuhnya sehingga tidak terlihat oleh orang lain kecuali wajah dan tapak tangan, sebagaimana pentafsiran Ibnu Abbas yang diiktiraf oleh Rasulullah SAW sebagai pakar tafsir, merujuk firman Allah SWT,
Ertinya : "Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya." (Surah al-Nur : 31).
Al-Qurthubi dalam mentafsirkan ayat di atas mengatakan bahawa 'yang biasa nampak daripadanya' adalah wajah dan kedua-dua tapak tangan sebagaimana kebiasaan rutin mahupun ibadah seperti solat dan haji. Walau bagaimanapun apabila dikhuatirkan terjadi fitnah kerana wajah wanita yang terlalu cantik maka lebih baik untuknya mengenakan purdah.
Dalil 3: Wajib Memakai Baju Longgar (Jilbab) yang Menutupi Seluruh Tubuh
Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang beriman, hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal supaya mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Ahzab: 59).
Berkenaan isu yang mengatakan seorang wanita tidak boleh memakai pakaian sambung (iaitu ada atas dan ada bawah seperti baju kurung) dan mereka hanya diharuskan memakai pakaian terusan (seperti jubah), sebenarnya tiada dalil yang mengatakan sedemikian selagi mana kedua-dua pakaian tersebut memenuhi syarat-syarat yang sudah ditentukan syariat terhadap pakaian 'takwa' seorang muslimah. Terpulang kepada mereka menentukan fesyen selagi mana kod fesyen itu masih mengikuti syarat-syarat syariah.
Dalil 4: Kisah Asma' Binti Abu Bakr Dilarang Memakai Pakaian Tipis
Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Aisyah r.ha. bahawa Asma' binti Abu Bakr pernah mendatangi rumah Nabi SAW (baginda merupakan adik ipar Asma') dengan mengenakan pakaian tipis yang menampakkan tubuhnya. Lalu Nabi SAW berpaling daripadanya dan berkata,
"Wahai Asma', sesungguhnya seorang wanita yang telah haid tidak dibolehkan menampakkan bahagian daripada (tubuh)nya kecuali ini dan ini."
Baginda SAW memberikan isyarat kepada wajah dan kedua telapak tangan. Hadis di atas banyak dikuatkan oleh pelbagai hadis sahih lainnya.
Rasulullah SAW telah mengenali Asma' r.ha sebagai wanita baik tetapi baginda tetap memerintahkannya mengenakan pakaian menutup aurat di hadapan bukan mahram (lelaki yang tidak halal baginya) kerana ia perintah Allah yang tetap dan tidak berubah kecuali dalam keadaan darurat. Begitu juga tentang isteri Usamah bin Zaid.
Dalil 5: Larangan Memakai Pakaian Berbayang atau Nipis
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad bahawa Nabi SAW menghadiahkan Usamah bin Zaid sehelai pakaian (yang berasal) dari Mesir. Lalu Usamah memberikannya kepada isterinya dan Nabi SAW berkata kepadanya, "Perintahkan isterimu untuk mengenakan pakaian dalam pada bahagian bawahnya. Sesungguhnya aku mengkhuatirkan nampak bentuk-bentuk tulangnya."
Pakaian yang dimaksudkan Nabi hendaklah tidak mengundang fitnah, seperti tidak tipis sehingga menampakkan bayangan tubuhnya atau tidak pula ketat sehingga membentuk lekuk, alur dan lurah pada bahagian tubuhnya.

Saturday, 16 February 2013

Iman kita ni senantiasa bertambah dan berkurang...
Ayuh teman-teman kita mantapkan iman kita dengan mendekatkan diri kita yang hina ini kepada Allah s.w.t

Sunday, 3 February 2013

Perigi Mencari Timba

"Sekarang lepas habis degree, nak buat apa pula? Nak kerja atau sambung lagi buat master?," saya bertanya.

Pada malam itu, alhamdulillah, diizinkan oleh Allah s.w.t. sempat bertukar khabar, bertanya berita kepada seorang kenalan yang berstatus kakak, yang saya kenal hampir 15 tahun silam. Beliau juga antara insan yang saya amat kagumi dan hormati. Akhlaknya baik dan dalam bidang akademik, mendapat anugerah dekan itu biasa. Mantap pokoknya.

"Akak rasa nak jadi pensyarah. Kebetulan habis degree, pihak universiti tawar sambung master. InsyaAllah kakak rasa nak sambung master," jawab beliau. Dengan keputusan yang cemerlang, bukan satu hal yang sukar untuk mendapat tawaran ini. Walaupun dengan usia yang muda, seawal 25 tahun. "Ngomong-ngomong, sekarang sudah masuk umur 25.

Sudah ada calon belum kak?" saya cuba mencuit dengan nada bercanda.

"Erm, itu yang akak nak cerita dan minta pendapat Ami ni."

"Owh... beres. Ceritalah... kalau boleh saya bagi pandangan, ya saya bagi. Jika tak boleh, sekurang-kurangnya menjadi pendengar yang baik," jelas saya.

"Ada seorang yang suka pada akak, tapi akak tak berapa berminat kerana akhlaknya tak bagus. Jadi akak tolaklah."

"Bagus, seharusnya macam itulah," komentar saya. Menambah rancak perbualan.

"Itu tak apa lagi. Akak tak kisah pun. Cuma sekarang, bimbang juga, dengan umur sudah masuk 25, tambah pula nak sambung master. Tak ramai lelaki yang berani," jelas beliau.

Sudah menjadi polemik dalam kalangan masyarakat apabila kita bercerita tentang dua kutub insan ini, faktor akademik dan taraf hidup menjadi permasalahan.

Wanita ramai di pusat pengajian awam, lelaki ramai di pusat serenti. Wanita ramai mencari ijazah, lelaki ramai berusaha menjadi jenazah di jalan raya yang "lurus". Itu baru dibuka cerita hal kelayakan duniawi, belum bersembang bab kelayakan akhirat. Susut, paras kritikal.

Lantas kebimbangan yang dikongsi itu, sebenarnya wajar dan tidak dapat tidak, kita harus mengakuinya. Ralit masyarakat kita, umur 25 tahun, adalah umur yang paling "cun" untuk melangkah ke alam sana. Menghampiri ke umur itu, cukup mendebarkan buat si gadis. Saya mengerti.

"Jadi sampai sekarang, tak ada lagi lah lelaki yang masuk merisik khabar?" Tanya saya.

"Erm, belum ada. Cuma macam ni, akak ada berkenan dengan seorang lelaki ini. Baik perangai dan insyaAllah soleh. Cuma itu di peringkat akak, jika dia, akak belum tahulah bagaimana."

"Jadi nak minta pandangan Ami, macam mana nak buat?" tanya beliau.

Mainstream Masyarakat

Selalunya, setiap hubungan itu dimulai oleh si jejaka. Mendekati si gadis, merisik si gadis, sehingga meminang si gadis. Caranya pelbagai. Bagi lelaki yang faham apa itu Islam, apa itu hukum syarak, si jejaka akan menguruskan dengan panduan tersebut. Tapi tidak kurang juga, lelaki mengambil panduan bukan dari Al-Quran dan sunnah.

Apabila lampu hijau diberikan oleh si gadis, biasanya selepas itu akan menyusullah ijab dan kabul. Lelaki meminang wanita, itu biasa dan lumrah bagi masyarakat.

"Apa kata, akak yang mulakan dulu. Maksud saya akak yang merisik lelaki tu?" Cadangan "ganjil" saya.

"Ish Ami... seganlah. Tak buat dek orang," pintas beliau.

Ya... perempuan meminang lelaki itu aneh bagi masyarakat kita. Tetapi jika kita menyemak kembali helaian sejarah gemilang, yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat, hubungan membina keluarga Muslim lagi mukmin itu bukan dengan cara satu hala.

Ada sirah mentafsirkan hubungan itu dimulai oleh jejaka meminang wanita. Dalam pada masa yang sama, ada sirah mencatatkan hubungan itu dimulai oleh wanita itu sendiri.

Lupakah kita dengan kisah cinta Murabbi Cinta kita, Rasulullah s.a.w. dengan wanita syurga, Siti Khadijah. Dalam kisah cinta, cinta terbaik yang harus kita umat akhir zaman contohi sudah semestinya baginda. Ini membuktikan, pinangan itu bukan satu talian kehidupan yang bersifat satu hala, tetapi boleh bertukar menjadi dua hala. Tergantung keadaan dan masa.

Seganlah!

Ya segan, kerana tidak dibuat dek orang kita. Sedangkan syariat begitu luar melebar dalam menata hidup umat Islam. Cukup cantik dan cukup sempurna, berbanding keterikatan adat yang menyempit. Menyusahkan.

Yang wajib, tidak dibuat.
Yang sunat, dilihat wajib.
Yang haram, itu dipertahan!

Sebenarnya, ada sesetengah adat dan syariat yang boleh dicantumkan. Dan jika ada pertembungan, bagi kita yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul, syariat itu diletakkan di hadapan sekali hatta pedang di leher sekalipun.

Kebenaran itu di zaman ini dilihat asing dan janggal di mata masyarakat. Justeru menjadi "cicak yang pekak" amat dituntut biarpun dicop sebagai tidak tahu malu!

Cara Menghubung

"Habis tu macam mana akak nak buat? Takkan akak nak jumpa dia, tanya nombor telefon keluarga dia... aneh la dan malu lagi," jelas beliau.

"Haa.. ada caranya dan malu itu tandanya ada iman," pintas saya.

Sering kita, malu itu malu tidak bertempat. Ramai wanita ke pusat membeli-belah dengan menayang pusat, bertepuk tampar dengan lelaki bukan muhrim, keluar malam tak ingat dunia, berpeleseran di tempat awam tanpa segan dan malu. Buta hujung, buta pangkal.

Mahu meminang lelaki yang baik untuk diri sendiri? Ah... malu. Malu tidak bertempat.

Jika melamar lelaki itu dibenarkan syariat, kenapa tidak?

"Saya cadangkan, akak risik dia melalui orang tengah. Orang tengah ini bukan sebarang orang boleh jadi. Dia harus orang yang amanah dengan rahsia dan baik akhlaknya.Jika kita lihat Siti Khadijah itu sendiri dalam meminang lelaki terbaik di dunia, Rasulullah s.a.w. juga melalui orang tengah. Jadi, mengunakan orang tengah adalah jalan terbaik dan dan lebih mulia bagi seorang wanita," terang saya.

"Biasanya, orang tengah itu siapa?"

"Biasa orang tengah itu, pasangan yang sudah bernikah. Dan pasangan ini baik antara akak dan lelaki itu. Jadi akak boleh sampaikan hasrat melalui isteri, dan akan disampaikan ke lelaki itu melalui si suami."

"Menarik... tapi itulah segan juga tu. Macam tak laku pula."

"Biar memilih, asal jangan salah pilih. Pernikahan, bukan untuk sehari dua. Kita cuba untuk selamanya. Tempat kita mencari ketenangan. Tak laku, low class atau segala macam title yang diberikan, semuanya sekadar kata manusia. Biar di pandangan manusia low class, tetapi Allah lihat kita hamba yang high class."

"Hurmm..."

"Pandangan kita, gadis bertukar pasangan sekerap menukar lampin bayi, itu high class, hot stuff. Dibawa ke hilir jantan ini, dibawa ke hulu jantan ini. Itulah "gadis laku" di zaman kita. Jika begitulah, biar tak laku pun apa. Allah lebih mengetahui," saya memberi semangat.

"Cuma satu lagi akak bimbang, macam mana kalau pinangan ditolak lelaki tu? Malulah."

"Disini peranan orang tengah menjadi penghubung yang paling penting. Jika orang tengah itu amanah dan bijaksana dalam melaksanakan misinya, insyallah jika ditolak sekalipun kita masih santai kerana kerahsiaan amat terjaga. Apa-apa pun, doa, usaha dan tawakal itu kuncinya," jawab saya.

Perigi mencari timba atau timba mencari perigi, masih dalam lingkungan kaedah. Dan jangan kita terlupa tugasan utama kita di dunia. Sudah solehkah kita? Sudah solehahkah kita? Dengan menyelesaikan persoalan tentang diri kita, urusan si dia, dengan izin Allah dipermudahkan.

Lelaki baik, untuk wanita baik. Wanita baik, untuk lelaki baik. Itu sifir Ilahi! Itu firman tertinggi! Mahu kita percaya? Tidak perlu dijawab, tanyalah iman!

 "Wanita-wanita yang keji untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji untuk wanita-wanita yang keji (pula) dan wanita-wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik (pula)." (Surah An-Nur:26) 



 Biar memilih asal jangan salah pilih.
Cool Neon Green Outer Glow Pointer

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...