Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Saturday, 17 November 2012

Hepi Meal Yang Tidak Menghepikan



Kebelakangan ini saya perasan begitu banyak kereta ditampal dengan pelekat pandu-lalu Mek Dogol. Eh. MekDi. Pelekat Burger King dan KFC ada juga, tetapi jumlahnya tidaklah sebanyak MekDi, yang seolah-olahnya ditampal di cermin hampir semua kereta yang ada di Malaysia ini. Hohoho..

Hal ini mengalirkan peluh di tengkuk untuk golongan seperti saya, yakni mereka yang memboikot barangan keluaran dan buatan atau yang menyokong Zionis Israel laknatullah. Semakin banyak pelekat di cerminan kereta, maka ia menggambarkan semakin banyaklah pelanggan MekDi dan semakin banyak pula wang yang mengalir ke dalam negara haram Israel.

TIpulah kalau saya katakan saya tidak pernah menjamah MekDi. Malah pernah suatu ketika MekAyam merupakan burger kegemaran saya, ditambah pula dengan MekNaget dan kentang goreng panas yang lazat. Uuuurrrggghhh. Memang nikmat. Namun setelah mengetahui apa sumbangan MekDi terhadap negara haram Israel dan berapa ramai pula nyawa rakyat Palestin yang terkorban saban tahun disebabkan oleh kekejaman tentera Zionis, tidak tergamak saya untuk menjamah MekDi lagi. Malah, saya boleh berbangga kerana saya sudah bertahun lamanya saya tidak menjejakkan kaki ke dalam premis restoran makanan segera itu. Dah tak ingat pon macam mana rasa naget garing atau bubur ayan MekDi. Eh.

Ketika isu boikot ini berada di kemuncaknya beberapa tahun yang lalu ketika Gaza teruk dihambat dan dibelasah Israel, ramai rakyat Malaysia yang menyahut seruan boikot ini. Punyalah berkesan kempen ini sehinggakan pihak MekDi Malaysia terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak menyumbang apa-apa kepada Israel. Wahai, anda ingat kami ni bodoh lagi jahil? Mungkinlah anda tidak menyumbang secara terus kepada Israel atau tiada apa-apa upacara menyerahkan cek sumbangan kepada Benjamin Netanyahu. Tetapi hakikatnya, wang royalti yang anda bayar setiap tahun kepada MekDi itu kerana menggunakan jenama mereka, wang itulah yang disalurkan ke sana!

Tuduhan terhadap MekDi yang menyalurkan sumbangan kepada kerajaan haram Israel bukanlah suatu tuduhan melulu atau tanpa bukti. Dokumentasi yang rapi dan bukti-bukti yang kukuh memang amat jelas menunjukkan bahawasanya syarikat gergasi makanan segera itu sememangnya memberikan sumbangan yang signifikan ke arah pembangunan negara haram Israel. 

Makcik MekDi merupakan rakan karib kepada Dana Bersatu Yahudi (Jewish United Fund) dan Persekutuan Yahudi (Jewish Federation), yang mana kedua-dua badan ini adalah antara organisasi yang terkedepan dalam mendokong ideologi Zionis. Dana Bersatu Yahudi menyumbangkan $1.3 juta setiap tahun tanpa gagal kepada Israel untuk pembangunan dan penempatan Yahudi di Kiryat Gat - tanah yang dirampas daripada penduduk Palestin, al-Manshiya dan al-Faluja pada tahun 1949.

Selain itu, tahukah anda restoran pertama Makcik MekDi di Timur Tengah adalah di negara haram Israel, yang dibuka pada tahun 1993? Makcik MekDi juga mengadakan suatu kempen di mana setiap sumbangan oleh pekerjanya kepada Dana Bersatu Yahudi, akan disamakan jumlah sumbangan tersebut oleh pihak mereka. Contohnya, restoran MekDi cawangan Chicago menyumbangkan $1 juta kepada dana tersebut, maka Makcik MekDi juga akan menyumbangkan $1 juta. Macam mana tak kaya Dana Bersatu Yahudi kalau macam tu!

Itu baru Makcik MekDi, belum lagi Pakcik Starbak dan Inche Koka-Kola!

Howard Schultz dan empayar kopinya. [Kredit]
Howard Schultz (nama pon dah tahu dia ni Yahudi!), pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Starbak adalah seorang Zionis yang aktif. Pada tahun 1998, dia telah dianugerahkan dengan 'Anugerah Penghargaan Rakan Zion Sempena Ulangtahun ke-50 Israel' oleh Dana Jerusalem Aish HaTorah, sempena jasanya "... memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan hubungan baik antara Amerika Syarikat dan Israel." Aish HaTorah adalah sebuah badan ultra-kanan (hampir kepada fasis) yang banyak membiayai aktiviti-aktiviti Zionis Israel. Starbak dengan penuh bangganya mempamerkan anugerah ini di laman sesawang mereka; namun setelah kempen boikot mula menyemarak di seluruh dunia, anugerah ini secara tiba-tibanya dihilangkan.

Provokasi. [Kredit]
Inche Koka-Kola tidak kurang hebatnya dalam sumbangan mereka dalam membangunkan negara haram Israel. Sejak tahun 1966 lagi, Koka-Kola merupakan penyokong tegar Israel. Pada tahun 1997, kerajaan Israel telah memberi penghargaan kepada Koka-Kola di Majlis Makan Malam Anugerah Perdagangan Israel atas sokongan padu dan berterusan mereka terhadap negara haram itu. Setiap tahun, Koka-Kola menjadi penaja utama untuk Anugerah Dewan Perdagangan Amerika-Israel yang memberi penghargaan kepada mana-mana syarikat yang menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi Israel. Koka-Kola juga membina kilangnya di Israel di atas tanah haram yang dirampas daripada penduduk Palestin.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang perbuatan onar dan keji yang dilakukan oleh Makcik MekDi, Pakcik Starbak dan Inche Koka-Kola (dan juga syarikat-syarikat dan jenama-jenama yang lain), anda bolehlah baca di sini.

Di dalam post ini, saya akan cuba menjawab beberapa persoalan yang sering dijadikan isu atau sengaja dimain-mainkan dek degil dan keras kepalanya anda untuk terlibat dalam kempen memboikot barangan Israel ini.

Mengapa perlu boikot? Tiada cara lainkah?

Untuk menjawab soalan ini dengan adil dan benar-benar jelas sejelas bintang berkerlipan di ufuk Timur.. Err. Anda perlu dahulu faham dan jelas dengan sejarah penubuhan negara Israel. Tetapi bukan niat saya untuk bercerita kepada anda tentang perihal itu di sini.

Cukuplah sekadar saya katakan, ia merupakan suatu jenayah di pihak kita apabila kita secara tidak langsung membantu ekonomi negara haram Israel. Tiada negara yang boleh bertahan dan berkembang maju tanpa sistem ekonomi yang mantap. Dan negara haram Israel, dalam tempoh kurang lebih enam puluh tahun sudah berjaya membangunkan negaranya dengan begitu canggih dan maju sekali. Semuanya gara-gara sumbangan berbilion dolar Amerika yang tidak henti-henti masuk ke dalam negara itu.

Dan dari manakah datangnya sumbangan ini? Banyak sumbernya, tetapi salah satunya adalah daripada hasil jualan barangan mereka kepada kita. Memanglah kalau fikir, "Ala aku sorang je beli. Berapa sen sangatlah yang dapat kat Israel tu..??", kita akan merasakan yang tiada salahnya kita membeli produk keluaran Israel. Garu kepala. Memanglah Kak Eton oi, Tapi cuba bayangkan kalau ada sepuluh juta orang macam Kak Eton, dah berapa juta sen dah tu..?? Tu baru sepuluh juta, kalau seratus juta? Satu bilion..??

Dan hujah yang paling kuat untuk kita boikot produk keluaran Israel adalah kerana tanggungjawab kita sebagai saudara seaqidah rakyat Palestin. Tergamak kita dengan penuh gembira makan BigMek sambil menguyah kentang goreng panas, minum Koka-Kola dan pagi-pagi ke Starbak untuk menikmati kopi panas di kala saudara-saudara kita hidup penuh sengsara dan terseksa? Setiap hari menanti masa, bila pula giliran mereka untuk dibedil dan dibom oleh kereta-kereta kebal dan jet-jet pejuang Israel laknatullah, dan kita dengan enak sekali menikmati Sundae Cokolat sambil duduk melepak di Starbak melayan wifi percuma..? 

"Tidak beriman seseorang di kalangan kamu selagi dia tidak menchentai saudaranya sepertimana dia menchentai dirinya sendiri."
[Riwayat Bukhari]

Bayangkan, cuma bayangkan, suatu hari Malaysia diserang dan ditakluk oleh Jepun misalannya (na'udzubillah). Ketika itu nasib kita tiada bezanya dengan rakyat Palestin, Kashmir, Syria malah lebih teruk lagi. Bayangkan, apa perasaan kita apabila melihat saudara-saudara seIslam kita di Indonesia, Thailand, Kuwait, Dubai dan sebagainya, dengan penuh riang gembira memandu kereta Honda dan Toyota, memakai henpon Sony dan makan sushi..?

Boikot adalah tanda solidariti kita kepada rakyat Palestin yang terseksa dan sengsara. Ia adalah sekecil-kecil usaha yang boleh kita lakukan bagi menunjukkan kita bersama-sama mereka! Dan anda tahu suatu fakta yang lebih mengalirkan peluh di tengkuk? Orang-orang bukan Islam pon cukup ramai yang bersama-sama dengan kempen memboikot ini! Wahai!

Jadi apa alasan kita untuk tidak memboikot...?

Bagaimana boikot berfungsi? Berkesankah?

Sesiapa yang pernah belajar ekonomi pasti tahu bahawa konsep yang paling asas dalam subjek ini adalah permintaan dan bekalan (Baca: Demand and supply). Bila ada sahaja permintaan, pasti akan ada bekalan. Dan tugas tangan ghaib (Baca: Invisible hand) adalah untuk memastikan jumlah bekalan bertepatan dengan jumlah permintaan secara otomatik, tanpa perlu ada campur tangan daripada pihak luar. Itu konsep asasnya.

Maka apabila kita memboikot barangan tertentu, misalnya Mek Dogol, eh tersasul lagi, MekDi, dan jumlah yang memboikot cukup ramai dan signifikan, ia pastinya akan menurunkan permintaan terhadap produk MekDi dengan cukup mendadak dan dramatik sekali. Dalam jangka masa yang panjang, nak tak nak, pihak MekDi terpaksa mengejas bekalan mereka bagi memastikan mereka tidak kerugian.

Dan dalam jangka masa yang lebih panjang, sekiranya permintaan terhadap burger, naget, kentang dan aiskrim MekDi menurun dengan berterusan dan begitu mendadak sekali, pastinya ia akan menggoyangkan lutut pihak pengurusan MekDi lantas membuatkan mereka terfikir,

"Ish ni tak boleh jadi kalau terus macam ni. Bini dan anak-anak aku nak makan apa..?? Ah, kita hentikan sumbangan kita pada Israel kalau macam ni!"

Hoyeah.

Anda mungkin ingat itu semua mimpi dan mustahil boikot boleh memberi kesan sehingga sebegitu rupa. Oh saya tidak melawak. Ia memang benar-benar berlaku.

Hasil daripada usaha-usaha boikot sebelum ini, beberapa syarikat gergasi telah menarik kembali sumbangan dan sokongan mereka kepada Israel. Antaranya, Nokia(ya benar, anda kini boleh menggunakan kembali henpon 3310 anda yang anda simpan dalam almari itu) dan Arsenal FC (silakan sokong Arsenal sekarang juga!) telah menarik semula pelaburan dan kepentingan mereka di Israel. Nah, bukankah terbukti sudah anda mampu melakukan perubahan hanya dengan memboikot..??

Suatu ketika dahulu, dunia telah melakukan tindakan yang sama terhadap kerajaan Apartheid Afrika Selatan yakni dengan memboikot produk keluaran mereka, sehingga melumpuhkan ekonomi negara tersebut. Maka, Israel wajar menerima layanan dan nasib yang sama. Apa bezanya negara haram apartheid Israel dengan apartheid Afrika Selatan?

Tapi... Kalau kita boikot MekDi, Starbak semua tu, kasihanlah pada anak bangsa kita yang bekerja dengan mereka! Hilang pekerjaan mereka nanti!

Ekele. Ini salah satu alasan/kenyataan retorik yang paling bosan dan menyampah saya dengar. Maaf.

Pertamanya, dah takde tempat lain ke nak kerja bang kak oi..? Punyalah banyak peluang pekerjaan di luar sana, mengapa MekDi dan Starbak yang menjadi pilihan? Bukannya banyak pon gaji yang mereka bayar! Kena kerja macam keldai lagi! Aduhai mak minah sayang.

Ok sedikit emo di situ. Dan jawapan sebegitu agak prejudis dan bunyinya seperti mementingkan diri bukan? 

Huaaaarrgghhh makan budaaaakk! [Kredit]

Begini.

Kemungkinan besar anda yang bekerja di premis-premis MekDi, Starbak dan yang seangkatan dengannya tidak sedar pon kepentingan untuk memboikot syarikat-syarikat pro-Zionis ini. Bukan salah anda kerana anda tidak terdedah dengan maklumat-maklumat yang berkaitan. Dan setelah bekerja sekian lama, terasa begitu sukar dan berat untuk meninggalkannya atas dasar komitmen dan kesetiaan kepada raja dan negara majikan anda bukan? Apatah lagi mungkin sukar untuk mencari pekerjaan lain selepas ini bukan..?

Mungkin sukar untuk saya meyakinkan anda. Dan mungkin mudah untuk saya menyatakannya. Tetapi percayalah, ini soal aqidah. Ini soal persaudaraan, ukhuwwah Islamiyah kita dengan saudara-saudara kita di Palestin. Sekiranya kita mempunyai kesedaran untuk bersama-sama merasai penderitaan saudara-saudara kita di sana, sekiranya kita benar-benar beriman dengan hadith yang saya sebutkan tadi, Insha-Allah, kita akan punya kekuatan dan iradah yang luar biasa untuk meninggalkan pekerjaan kita itu.

Malah, anda sebagai pekerja dengan syarikat-syarikat tersebut adalah orang yang pertama-tama sekali wajar memboikot produk keluaran mereka dan berhenti serta-merta daripada berkhidmat dengan mereka, sebagai tanda protes dan tidak puas hati anda dengan tindakan mereka menyokong Zionis Israel. Siapa tahu, suatu hari nanti, berkat kesungguhan, ketabahan dan kesabaran anda, anda dapat bekerja semula dengan mereka ini yang ketika itu sudah bebas daripada pengaruh cengkaman Zionis? Senyum.

Dan bukankah rejeki itu milik Allah dan hanya Dia sahajalah yang memberikan rejeki kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki? Yakin dan percayalah, satu pintu anda tutup demi kepentingan ukhuwwah dan perjuangan yang lebih besar dan utama, berpintu-pintu lain yang Allah akan buka untuk anda! Yang penting, anda perlu ikhlas dan yakin apabila melakukannya!

Tarik nafas... Hembus. Tarik nafas lagi.. Hembus sekali lagi. Anda mampu melakukannya!

Tapi Inche gabbana, kat Arab Saudi pon ada MekDi dan Starbak! Koka-Kola pon bersepah-sepah! Sambil-sambil buat umrah pon boleh singgah dulu di Mekdi atau Starbak! Ha, macam mana pulak tu??

Allahu a'lam. Kat padang Mahsyar nanti, cubalah beritahu Allah dan rakyat Palestin begini:

"O Allah. Aku makan MekDi dan minum Starbak dulu sebab kerajaan Arab Saudi pon tak menghalang rakyatnya daripada makan dan minum MekDi, Starbak dan Koka-Kola! Bukan salah aku kan ya Allah..?"

Erk.

Hakikatnya, di akhirat nanti kita akan dihisab nafsi-nafsi; sendiri-sendiri. Ketika itu, kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap tindakan dan perbuatan kita. Ketika itu, ke mana kita nak lari..? Gulp.

Ok ok. Jadi, kalau macam tu, kita kena boikot semua produk Yahudi la kan..? MukaBuku, Pakcik Google, Intel, semua-semua tu..??

Haih. Pertamanya, kita kena bezakan dahulu antara Yahudi dan Zionis. Apakah ideologi sebenar di sebalik Zionisme. Bezanya antara Yahudi (sebagai agama, dan bukan bangsa) dengan Zionis, sehinggakan dalam protes-protes dan tunjuk perasaan yang menentang kekejaman rejim zionis Israel, terdapat sejumlah Yahudi Ortodoks (Yahudi totok) yang menyertainya. Malah saya sendiri pernah menyertai protes jalanan besar-besaran sewaktu di Kota London dahulu yang disertai oleh sejumlah Yahudi Ortodoks ini.

Menariknya, ar-Rasul SAW sendiri tidak pernah memusuhi Yahudi. Abdullah bin Salam adalah seorang pendeta Yahudi yang mendapat hidayah lantas memeluk Islam. Malah salah seorang isteri baginda, Safiyya adalah seorang wanita Yahudi, anak kepada ketua Kaum Nadhir, Huyay ibn Akhtab. Dan pasti segar dalam ingatan anda tentang kisah wanita Yahudi yang meletakkan duri di sepanjang laluan Nabi, yang kemudiannya jatuh sakit lantas baginda adalah orang pertama yang menziarahinya? Juga kisah pengemis buta Yahudi yang akhirnya memeluk Islam, selepas tersentuh dengan layanan baginda terhadapnya?

Yang dimusuhi oleh Islam adalah kafir harbi, yakni sesiapa sahaja yang ingkar pada perintah Allah (kufur) dan secara terang-benderang mengisytiharkan permusuhan dengan Islam. Maka dalam konteks hari ini, Zionisme dan para pengikutnya adalah kafir harbi yang wajib diperangi, kerana mereka secara jelas lagi tanpa segan-silu boleh saya tumpang lalu, menyatakan kebencian dan kedangkalan mereka terhadap Islam.

Arakian kita perlu berhati-hati dalam memilih syarikat dan produk mana yang perlu diboikot. Mana-mana syarikat yang secara terang-benderang menyokong penubuhan negara haram Israel, malah membantu pula mereka dengan cara mengalirkan dana bagi membangunkan negara tersebut, maka mereka ini wajib diperangi dengan boikot kita.

Antara produk-produk yang wajar diboikot. Ohoii! [Kredit]

Dan keduanya, secara idealnya sememangnya kita mahu boikot semua barangan dan produk keluaran Zionis ini. Namun hakikatnya, dek pengaruh ekonomi mereka yang cukup besar dan meluas, agak sukar juga untuk dikenalpasti setiap produk dan barangan yang mereka hasilkan.

Mencontohi inisiatif yang diambil oleh pihak Aqsa Syarif, mereka menumpukan usaha boikot ini kepada tiga produk yang utama; MekDi, Starbak dan Koka-Kola. Saya bersetuju dengan tindakan ini. Biarlah kita berfokus dalam usaha-usaha boikot kita, daripada mencapah tak tentu hala dan kesannya tidak dirasakan pon oleh mereka ini. Jadi kita mulakan dengan mereka ini dahulu. Setelah mereka benar-benar terkesan dan sakit dengan bisa boikot seluruh umat Islam lantas mengalah dengan desakan kita, baharulah kita beralih kepada syarikat dan produk yang lain pula.

Dan anda pernah dengar tentang kesan Domino? Tidak mustahil, akibat gerun dan gentar melihatkan kerugian dan kesan akibat boikot secara besar-besaran ini, syarikat-syarikat lain juga akan segera menghentikan pelaburan mereka dengan Israel sebelum mereka pula diboikot! Walawehhh!

Bagaimana..? Tidak sukar bukan? Senyum kenyit-mengenyit.

Sudah tiba masa untuk kita melakukan serangan balas! Ayuhhhh! [Kredit]

Tapi Inche gabbana... Sedaplaaaaaa burger kentang goreng MekDi semua tu. *airliurmeleleh* Pagi-pagi mesti pekena kopi latte karamel berkrim Starbak lagi. Macam mana nak tinggalkan....? *mata kucheng*

Err. Tapak tangan muka (Baca: Facepalm) untuk anda.

Ia suatu pilihan. Dan bukannya tiada alternatif bukan..? Kalau MekDi tu, rasanya burger Ramlee atau burger bakar pon boleh celen. Starbak? Berlambak-lambak alternatif di luar sana tu; Coffee Bean ada, illy ada, kalau nak sentuhan tempatan kopitiam pon banyak. Apa lagi alasan anda..?

Pokoknya, dunia tidak akan kiamat kalau anda tidak makan MekDi bukan? Nyawa anda tidak duduk di kerongkongan sekiranya anda tidak menghirup Starbak dan Koka-Kola bukan..?

Nah, apa lagi yang menghalang anda daripada memboikot produk-produk ini...?? 

"Dan orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka."
[al-Baqarah, 2:120]

Sudah, apa yang anda tunggu lagi tu..? JOM BOIKOTTTT...!!

-gabbana-

Untuk memahami dengan lebih lanjut dan jelas tentang kepentingan boikot dan apa produk-produk yang perlu diboikot juga perjuangan membela rakyat Palestin, saya amat mengesyorkan anda untuk memperbanyakkan bacaan dan carian anda di internet. Antara laman-laman sesawang yang saya syorkan adalah Big CampaignInMinds,Friends of al-Aqsa dan sudah semestinya, Aqsa Syarif

Sebarang teguran, penambahbaikan mahupon kritikan untuk artikel kali ini amat-amatlah dialu-alukan. Semoga ini menjadi usaha kecil kita yang tak seberapa untuk berhadapan dengan Allah kelak dan semoga menjadi saksi pembela kita di mahkamahNya nanti. Amiin. 

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.
Segala komen membina sangat digalakkan untuk sebarang penambahbaikan dan perkongsian idea.

Cool Neon Green Outer Glow Pointer

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...