Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Saturday, 24 November 2012


23 November 2012

Palestin? Gaza? Ada Aku Kisah?

[Kredit]

Tak habis-habis isu Palestin. Tak sudah-sudah isu Gaza. Hallo..?? Macam lah kat dunia ni dah takde orang lain yang menderita..? Macamlah kat seluruh Galaksi Bimasakti ni dah takde bangsa yang kena dera..??

Macam pernah ku dengar dialog di atas ini. Tetapi di mana ya..? Di dalam Utusan Meloya mungkin..? Wahahaha.. Eh.

Ehem.

Mutakhir ini, kempen kesedaran untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin amat giat dijalankan. Terima kasih kepada saluran media sosial elektronik seperti MukaBuku yang diasaskan oleh Mark Zuckeberg, seorang Yahudi *koff koff*, juga saluran-saluran yang lain seperti Beloger, Pengicau dan sebagainya, maklumat-maklumat terkini dan hapdet-hapdet terbaru tentang apa yang berlaku di Palestin dapat disebarluaskan dengan begitu pantas sekali.

Pada masa yang sama, muncul pula golongan yang tampaknya seperti tidak endah dan tidak peduli dengan apa yang sedang berlaku. Paling ketara adalah penentangan dan ketidaksukaan mereka terhadap kempen memboikot produk atau kampeni yang trang tang aduhai mak minah sayang! Eh. Terang-terangan menyokong rejim Zionis Israel laknatullah.

Hal ini cukup menggaru minda. Cukup menghairankan. Bukti-bukti dan fakta-fakta yang menunjukkan Mekdi, Setabak, KokaKola, Caterpillar dan sebagainya yang menyokong rejim Israel cukup banyak dan amat mudah didapati. Namun mereka masih berhujah dan mempertahankan pendirian mereka untuk tidak terlibat dalam kempen boikot, malah dengan riang gembira terus-menerus menggunakan produk-produk tersebut.

Dan hal ini lebih melopongkan mulut anda apabila melihat orang-orang yang bukan Islam di negara-negara Barat terutamanya adalah antara golongan yang paling giat dan aktif memboikot. Mereka juga turun berdemonstrasi di jalanan bagi menunjukkan solidariti mereka terhadap rakyat Palestin yang teruk dianiaya. 

Saya kadang-kadang jadi tidak faham. Keliru. Omputih menyebutnya sebagaidumbfounded. Seriyesli. Teringin juga nak faham apa yang sebenarnya bermain di fikiran mereka. Terasa mahu menyelami otak mereka untuk mengetahui neuron-neuron jenis apa yang berselirat di dalam tengkorak mereka. 

Hari ini saya ingin berkongsikan beberapa salah faham atau reaksi pelik orang ramai di luar sana tentang konflik Israel-Palestin yang berlaku. Dan saya juga akan memberikan respon atau penjelasan ringkas saya terhadap salah faham atau kenyataan-kenyataan harakiri ini.   

Marilah.

1) "Buat apa nak sibuk-sibuk boikot Mekdi dan Setabak tu. Ohoi, kau tahu tak, dekat Mekah tu pon ada cawangan Mekdi dan Setabak..?? Orang Arab pon tak boikot, kita nih orang Malaysia pulak yang over. Ceh!"

Respon Inche gabbana: Dah tu, kalau orang-orang Arab tu atau sesapa lah yang duduk dekat Mekah tu merompak, membunuh, minum arak dan berzina, kita pon kena ikut mereka jugalah..? Ohoi, akal ada..?

2) "Pelik betul dengan puak-puak yang sibuk nak bantu orang Pelestin tu. Orang-orang Arab yang berjiran dengan mereka pon tak kisah pasal mereka, kita ni hah ribuan batu dari mereka yang terhegeh-hegeh nak tolong. Hallo, kat Malaysia ni pon ramai je lagi yang susah. Tak nak tolong ke..??"

Respon Inche gabbana: Anda, kesusahan orang Palestin lain dengan kesusahan orang di Malaysia. Di Malaysia, kita punya cukup kekayaan dan kemudahan, yang sekiranya diagihkan dengan adil dan saksama, saya yakin tidak ada orang yang akan hidup dalam kedhaifan atau miskin tegar. Ini soal korupsi dan tiada integriti!

Di Palestin tu, apa yang mereka ada..?? Ekonomi mereka disekat dari pelbagai arah oleh rejim Zionis. Sumber bumi mereka juga sudah banyak yang dirampas oleh Israel. Nak bina kilang, kena bom. Nak buat bank, kena bom. Sudah tu, siapa lagi yang patut membantu mereka kalau bukan kita saudara-saudara seaqidah mereka ni..??


Pedulikanlah (jika benar) orang-orang Arab yang tidak endah akan nasib mereka. Di akhirat nanti, kita akan diadili nafsi-nafsi, sendiri-sendiri. Amal perbuatan kita sendiri yang akan dihitung, dan ia tidak akan bersandarkan pada amalan orang lain. Cubalah nanti di hadapan Allah, anda katakan, "Ya Allah, dahulu aku tak nak bantu orang Palestin sebab orang Arab sendiri tak nak bantu. Nak buat camne..??"  Ada beran..?

“Barang siapa yang tidak peduli akan nasib saudara muslimnya maka dia bukan daripada golongan mereka.” 


[Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]

3) "Kecoh sangat nak boikot Mekdi la, apa lah. Ni yang sibuk-sibuk guna Fesbuk ni apa kes..?? Boikot la Fesbuk jugak! Mark Zuckerberg kan Yahudi..??"

Respon Inche gabbana: Geleng kepala. Sudah saya jelaskan berkali-kali. Ada beza antara Yahudi dan Zionis. Kita tidak menentang Yahudi secara keseluruhannya, kerana di luar sana ada Yahudi yang bersih hatinya (dan kita doakan mereka ini akan disentuh hidayah dan memeluk Islam, In Shaa Allah). Yang kita tentang adalah fahaman Zionis yang begitu ekstrem ideologinya.

Yang lebih utama, tiada bukti yang mengatakan Fesbuk menyokong atau membantu Israel. Tidak seperi Mekdi, L'Oreal, Setabak dan sebagainya, yang sememangnya sudah terbukti melalui fakta-fakta yang sahih bahawasanya mereka ini menyalurkan bantuan kewangan sama ada secara langsung atau tidak kepada rejim Zionis Israel. 

Saya suka dengan jawapan Afdlin Shauki tentang perkara ini. Katanya (kurang lebih, setakat yang saya ingat):

"Gua tak setuju bro kita boikot FB ni. Lebih baik kita gunakan sehabis baik untuk lawan balik Yahudi tu!" 

Juga pandangan yang diberikan oleh seorang pembaca di laman MukaBuku saya:

"Kalau FB ni bolehlah nak fikir, macam mana nak datangkan kebaikan kepada umat Islam. Tapi kalau Mekdi, puas fikir, macam mana nak gunakan balik untuk keuntungan umat Islam. Tak jumpa jugak." 
 

Dan saya pasti anda akan bersetuju dengan saya apabila saya mengatakan betapa besarnya jasa MukaBuku dalam menyalurkan maklumat-maklumat penting dan terkini tentang konflik Israel-Palestin (juga konflik-konflik yang lain) sehinggakan kesedaran orang ramai tentang isu ini kali ini tampaknya lebih memberansangkan.

Kalaulah Mark Zuckerberg tu beragama Islam, tidak boleh saya bayangkan berapa banyak saham-saham sorga yang telah dikumpulnya.

4) "Penting sangat ke tanah Palestin tu..? Kenapa tak serah je pada orang Israel? Kan senang. Takyah gaduh-gaduh. Tak perlulah lebih banyak nyawa terkorban! Orang Arab Palestin pergilah pindah dok kat tanah Arab yang lain. Kan ke luas..?"

Respon Inche gabbana: Pengsan. Bangun, baca balik kenyataan ini dan pengsan semula. Adoi.

Palestin dan Islam adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Palestin adalah bumi anbiya' sejak zaman berzaman. Benar, kaum Yahudi adalah antara yang terawal menduduki tanah Palestin. Dan ramainya Rasul yang Nabi yang diturunkan dalam kalangan mereka ini.

Namun para anbiya' semuanya adalah muslim. Mereka berserah diri sepenuhnya kepada Allah dan menyeru pula orang lain untuk memperhambakan diri kepadaNya. Bumi Palestin telah menjadi saksi betapa angkuh dan degilnya orang-orang Yahudi ini. Mereka bukan sahaja menolak risalah yang dibawa oleh para utusan Allah, malah mereka membunuh pula mereka! 

Arakian bumi Palestin yang suci itu tidak layak didiami oleh mereka yang ingkar kepada Allah. Orang Yahudi pernah suatu ketika taat dan patut kepada Allah dan hasilnya, mereka berjaya memakmurkan bukan sahaja tanah Palestin, malah seluruh dunia. Namun apabila mereka ingkar dan angkuh, satu-persatu Allah turunkan bala dan kehinaan ke atas mereka. 

Signifikannya Palestin, terutamanya kawasan Masjidil Aqsa kepada umat Islam tidak dapat dipertikaikan lagi. Ia adalah kiblat pertama umat Islam. Di situlah ar-Rasul diangkat ke langit dalam peristiwa Isra' wal Mi'raj dan di situ juga baginda mengimamkan solat jemaah bersama para ruh anbiya', sekaligus mengiktiraf baginda sebagai penutup segala Nabi. Maka tidak hairanlah, barangsiapa yang bersolat di situ mendapat ganjaran lima ratus kali lebih  banyak daripada bersolat di tempat lain. 

Oleh sebab itu, walau apa pon yang terjadi, umat Islamlah yang wajib mempertahankan kesucian bumi Palestin. Ia milik kita. Ia milik umat Islam! 'Umar al-Khattab r.a. pernah membebaskannya. Salahuddin al-Ayyubi pernah menawannya kembali daripada tangan-tangan kuffar yang jijik. Kini tiba giliran kita pula untuk membebaskannya daripada cengkaman Yahudi laknatullah!

5) "Orang Yahudi kan memang dah duduk kat Israel tu sejak dahulu-kala lagi? Maka merekalah yang paling layak dan berhak terhadap tanah Palestin. First come first serve la bro! Simpel."

Respon Inche gabbana: Kalau macam tu, orang-orang putih semuanya kena berhijrah keluar dari Amerika, kerana penduduk asal tanah besar Amerika itu adalah orang Indian. Eheh.

6) "Buat apa nak sapot Hamas tu?? Diorang tu pengganas! Sebab diorang tu lah Israel dok serang Palestin, sebab Hamas tak serik-serik nak lancar roket pada orang Israel. Kalau takde Hamas, dah lama aman dah Palestin tu!"

Respon Inche gabbana: Geleng kepala sekali lagi. Nasihat saya untuk anda; Pertama, baca sejarah konflik antara Israel dan Palestin - bagaimana ia bermula, siapa dalang-dalangnya, apa reaksi dunia dan sebagainya - dan kedua, baca juga sejarah penubuhan Hamas. 

"Tidak ada yang lebih menakutkan," kata Johann Wolfgang von Goethe, "Daripada melihat kejahilan (Baca: Ignorance) yang berleluasa."

William Shakespeare pula menyebut, "Tidak ada kegelapan melainkan kejahilan." 

SIla pastikan fakta anda sahih dan benar sebelum membuat kenyataan-kenyatan dan tuduhan sebegitu rupa. Orang yang bijak adalah orang yang berfikir dahulu sebelum bercakap.

Orang Palestin adalah mangsa. Menuduh mangsa sebagai pemangsa adalah suatu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab sekali. 

Cukuplah sejarah menjadi saksi, betapa rejim Zionis laknatullah telah berkali-kali mengkhianati gencatan senjata antara mereka dan Hamas. Pada 4 November 2008 misalnya, Israel menyerang Gaza dan telah membunuh beberapa aktivis Hamas. Apa tindakan Hamas sebagai reaksi kepada kekejaman Israel ini? TIDAK ada sebuah roket pon yang dilancarkan terhadap Israel!

Apabila Hamas menawarkan untuk mengadakan gencatan senjata, apa pula reaksi Israel? Mereka menolaknya dan melancarkan pula Operasi Cast Lead yang telah meragut ratusan nyawa tidak berdosa di Palestin! 

Anda benar-benar gila sekiranya anda mengatakan tindakan Israel adalah sebagai tindakan bela diri, manakala apa yang dilakukan Hamas adalah satu tindakan pengganas! Ppfffttt!

7) "Kau tahu tak, kalau kita boikot MekDogol, Setabak semua tu, kasihan la anak-anak bangsa kita. Kalau mereka kena buang, sapa nak tanggung mereka? Pemilik-pemilik restoran tu sume, orang kita jugak! Ish tak patut ish tak patut. Tak berhati perut betul orang-orang yang boikot ni!"

Respon Inche gabbana: Kau tahu tak, kalau kita tak boikot Mekdogol, Setabak semua tu, kasihan la anak-anak seaqidah kita di Palestin sana. Setiap MekAyam, setiap MekFeleri, setiap cawan Mocha Latte (ada ke..? Tak pernah beli, jadi tak tahu.. Hohoho..) adalah bersamaan dengan sebutir peluru pada dada anak-anak di Palestin. Sama dengan sebutir bom yang menghancurkan rumah dan sekolah mereka! 

Sebab kita nak makan MekDogol dan minum Nescafe tarik lah kita terpaksa boikot mereka ini. Supaya suatu hari nanti, mereka amat terkesan dengan tindakan boikot kita lantas mengambil keputusan untuk berhenti melabur dan menyumbang pada rejim Zionis Israel. Ketika itu, bolehlah kita dengan gembira bergaya memandu lalu memesan burger MekAyam MekDogol. Hoyeah.

Ketahuilah, ada dua perkara yang amat Yahudi laknatullah takutkan:

1) Umat Islam bersatu, bangkit berjihad menentang mereka habis-habisan.
2) Ekonomi mereka hancur runtuh. Ekonomi adalah senjata yang amat berkuasa untuk menundukkan mana-mana negara. Jangan sesekali perkecilkan kuasa boikot dalam mempengaruhi tindakan Israel.

Begitulah.

Bagaimana..? Pelik lagi ajaib? Ha, saya sudah nampak ada di kalangan anda yang sudah mula terlopong mulut, menggaru hidung dan terbeliak mata!

Percayalah, masih ada banyak respon-respon dan kenyataan-kenyataan luar biasa dan membeliakkan mata di luar sana. Cukuplah setakat ini dahulu.

[Kredit]

Namun jujurnya, tidak adil untuk kita menyalahkan mereka seratus persen. Tidak molek untuk kita memandang mereka dengan pandangan keji seolah-olah mereka adalah penjenayah tegar yang tertampal wajah mereka pada poster 'WANTED' di dinding-dinding pasaraya besar Gergasi atau kedai serbaneka Seben Eleben. Err.

Kerana hakikatnya masih ramai yang belum benar-benar faham dengan situasi sebenar yang berlaku. Malah jangan terkejut kalau ada dalam kalangan bijak pandai yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan jahil atau membunuh diri, dek terpengaruh dengan berita-berita dan laporan dari Barat yang hallo obviyesli berat sebelah kott...?? Ehem. 

Sayugia menjadi tugas kitalah yang konon-kononnya faham ini untuk memahamkan mereka. Kita dahulu pertama-tamanya perlulah ambil tahu dan berat tentang keadaan dan situasi terkini di sana. Kita dahulu hendaklah membuat kerja rumah bagi mengorek fakta-fakta yang sahih lagi tepat tentang konflik Israel dan Palestin ini. Kemudian kita sebarluaskan hapdet-hadpet terkini dan fakta-fakta yang benar tentang apa yang berlaku agar orang ramai lebih cakna akan isu ini. In Shaa Allah, kalau kita punya tekad dan semangat untuk istiqamah menyebarkan kebenaran, saya yakin akan lebih ramai orang yang faham dan jelas dengan apa yang sebenarnya yang berlaku. Senyum sedikit.

Dan anda tahu apa perkerjaan kita yang paling utama sekiranya benar kita mahu membebaskan taah suci Palestin dari cengkaman Yahudi laknatullah, juga mahu menegakakn Islam terchenta sebagai ostad kepada alam ini..??

Bina lebih ramai manusia di luar sana, yang pada suatu hari nanti, akan sanggup menjual seluruh jiwa dan harta mereka demi Islam yang terchenta. Percayalah, ketika itu, ketika kita sudah mempersiapkan diri kita dengan pemuda-pemuda setangkas Muadz bin Jabal, setegas Abu Ubaidah al-Jarrah dan sehaibat Salim, maka ketika itulah Allah akan menurunkan nusrahNya kepada kita semua. Biidznillah.

Kesat air mata. Aman.


-gabbana-

Maaf, saya tidak begitu selesa dengan gencatan senjata terbaru antara Hamas dan Palestin. Ya, lega dan gembira kerana kini anak-anak Palestin boleh berlari-lari riang semula dan dapatlah mereka menjalani hidup seperti sedia-kala (tapi tidak mungkin akan normal seperti kita di Malaysia ini).

Namun saya pasti, Israel akan mengkhianatinya lagi. Ya, pasti. Dan saya tahu, Hamas dan orang-orang Palestin juga amat arif dengan perkara ini. Kerana seorang mu'min itu, tidak mungkin, tidak sesekali mungkin akan jatuh ke lubang yang sama dua kali. 

Sama-sama kita doakan agar Allah akan mengurniakan kemenangan yang agung pada saudara-saudara kita di sana. Sama ada menang di dunia, atau mati syahid menempah sorga. Amin.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.
Segala komen membina sangat digalakkan untuk sebarang penambahbaikan dan perkongsian idea.

Cool Neon Green Outer Glow Pointer

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...