Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Sunday, 19 February 2012

Ketakutan Kami Istimewa

Antara fitrah manusia adalah ketakutan. Takut membuatkan manusia lebih berjaga-jaga.

Takut gagal periksa, manusia belajar. Takut gemuk, manusia diet. Takut tak sihat, manusia riadhah. Takut kena langgar kereta, manusia lintas jalan tengok kiri kanan. Takut anak kena culik, manusia tak lepaskan anak gitu aja.

Dan begitulah sedikit ‘ketakutan’ yang wujud, dari ribuan ketakutan yang wujud di dalam kehidupan kita.

Takut menghasilkan amal. Takut menghasilkan gerak. Takut membuatkan manusia berbuat sesuatu. Memang lumrah manusia, memerlukan ketakutan sebenarnya.

Dan wujud di dalam dunia ini satu ketakutan bertaraf istimewa.

Itulah dia ketakutan kepada Allah SWT.


Takut menghasilkan defensive system,

Berjaga-jaga adalah hasil dari ketakutan.

Sekiranya kita meletakkan ketakutan kita pada tempat yang betul, yakni takut kepada Allah SWT, takut hendak melanggar perintahNya, takut hendak melakukan laranganNya, maka ketakutan kita akan menghasilkan satu defensive system yang tertinggi di dalam kehidupan manusia.

Itulah apa yang dinamakan sebagai Taqwa. Taqwa adalah satu perasaan takut untuk melanggar perintah Allah SWT dan takut untuk menyentuh laranganNya. Akhirnya, ketakutan yang bernama taqwa ini membuatkan kehidupan manusia bergerak di atas kebaikan semata-mata. Hal ini kerana, tiada apa yang disuruh oleh Allah itu melainkan ianya mendatangkan kebaikan, dan tiada apa yang dilarang oleh Allah SWT itu melainkan ianya mendatangkan keburukan.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.” Surah Al-Hasyr ayat 18.

Akhirnya, ketakutan ini membuatkan kita bergerak ke arah kebaikan.

Bukan takut yang membungkus kita ke dalam kelemahan dan kekerdilan. Ia adalah takut yang mengangkat kita tinggi dan menkecup kegemilangan.


Takut ini takut yang unik

Antara keunikan takut kepada Allah SWT adalah, takut ini membuatkan kita semakin hampir kepadaNya. Takut kepada Allah tidak membuatkan kita jauh dariNya. Bahkan semakin kita takut kepadaNya, semakin kita rasa perlu mendekatiNya.

Tiada ketakutan yang mampu menghasilkan hubungan sebegini rupa melainkan takut kepada Allah semata-mata.

Unik lagi, ketakutan ini tidak menghasilkan kegelisahan. Bahkan ia menghasilkan ketenangan dan kebahagiaan. Rasa diri ini terjaga, rasa diri ini berada atas kebenaran dan terselamat dari perkara yang bukan-bukan. Diri rasa selamat dan hidup.

Tambah unik, ketakutan kepada Allah keberanian yang tidak tertanding. Contoh termudah adalah Rib’i bin Amir, seorang tentera biasa yang telah bergerak berseorangan menghadap Rustum di istana gilang gemilang.

Rib’i langsung tidak gentar, tidak pula merasa kerdil.

Dia bahkan berbicara lantang menyatakan matlamat kehadirannya, dan perjuangan ummat Islam di hadapan Rustum.

Sedangkan dia hanya seorang, dan dia sedang berhadapan Raja yang menjadi musuhnya, sedang raja itu dikelilingi tentera-tenteranya.

Unik sungguh ketakutan kepada Allah ini. Adakah wujud ketakutan seperti ini pada ketakutan selain ketakutan kepada Allah?

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.” Surah Al-Maidah ayat 35.


Persoalan penting: Bagaimana hendak takut?

Maka timbul persoalan, bagaimanakah kita hendak merasai ketakutan sebegini rupa? Ketakutan yang menjaga kita, ketakutan yang membewa kita ke arah yang selamat, ketakutan yang memberikan keberanian dan kekuatan ini?

Perkara pertama yang perlu diperhatikan adalah keimanan. Apakah keimanan kepada Allah itu wujud di dalam jiwa kita? Apakah kita percaya bahawa Allah itu Maha Perkasa? Adakah kita percaya bahawa Allah itulah Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya? Apakah kita yakin betapa tiada yang akan mampu memudaratkan kita melainkan Dia? Adakah kita yakin bahawa Allah itu Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Mengetahui segala apa yang kita lakukan?

Keyakinan inilah yang membuatkan ketakutan itu muncul.

Bayangkan, anda sedang berzina dan anda merasakan bahawa Allah sedang melihat anda berzina. Apakah perasaan anda?

Bayangkan, anda sedang mencuri dan anda merasakan bahawa Allah sedang melihat anda mencuri. Apakah perasaan anda?

Bayangkan, anda sedang melakukan kemaksiatan dan kemungkaran, dan anda merasakan bahawa Allah sedang melihat anda melakukan semua iu. Apakah perasaan anda?

Allah Yang Maha Perkasa itu. Allah Yang Menciptakan segala-galanya itu. Allah Yang Berkuasa Atas Segala-galanya itu. Allah Yang Mempunyai Neraka Yang Sangat Dasyat itu. Allah itulah yang sedang memerhati dan menilai kita.

“Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).” Surah Al-Baqarah ayat 196.

“Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya.” Surah Al-Baqarah ayat 203.

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.” Surah Al-Baqarah ayat 233.

Apakah kita hendak buat bodoh sahaja dan terus melakukan kerosakan?

Dan bayangkan, dengan perasaan yang sama, apakah akan muncul ketakutan terhadap yang lain?

Semestinya tidak.

Menambah lagi ke’lazat’an ketakutan ini, bacalah apa yang Allah janjikan sebagai balasan-balasan manusia yang ingkar kepadaNya. Bacalah juga bagaimana Allah menceritakan kekuatan dan kehebatanNya.


Penutup: Terbanglah dengan sayap takut dan pengharapan

Manusia ini ibarat burung. Terbang dengan dua sayap. Manusia hidup dengan takut dan pengharapan.

Jika kita tidak takut kepada Allah SWT, kita akan takut kepada perkara yang lain.

Dan ketakutan kita itu akan menghasilkan pengharapan kita terhadap apa yang kita takuti.

Tetapi apakah berbaloi takut dan berharap kepada selain Allah SWT?

Siapakah yang lebih kuat daripada Allah? Siapakah yang lebih kaya daripada Allah SWT? Siapakah yang lebih berkuasa daripada Allah SWT?

Maka kita sepatutnya melihat kembali dan menilai semula. Kepada siapakah selama ini kita letakkan ketakutan dan pengharapan kita?

“Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya)” Surah At-Taghabun ayat 16.

Mari takut dengan ketakutan yang istimewa.

Takut yang menghasilkan kekuatan.

Terbanglah dengannya.

Dan ia akan menghasilkan pengharapan yang pastinya tidak akan mengecewakan.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.
Segala komen membina sangat digalakkan untuk sebarang penambahbaikan dan perkongsian idea.

Cool Neon Green Outer Glow Pointer

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...