Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Tuesday, 27 December 2011

7 Perkara Yang Lebih Produktif Pada Tahun Depan




1. Memecahkan Perkara Yang Ingin Dicapai Kepada Tugasan-tugasan Kecil

Jika anda ingin membuat website syarikat, anda kemudiannya menulis ayat "Bina Website Syarikat" di atas dinding tidak akan menjadikan website anda itu siap. Sebaliknya anda seharuskan memecahkan objektif itu tadi kepada tugasan-tugasan kecil seperti merangka kandungan website, mengiklankan tugasan membuat website, menyiapkan logo syarikat, mengambil gambar-gambar menarik untuk dimuatkan dalam website dan sebagainya.

2. Hentikan Membuat Beberapa Kerja Dalam Satu Masa (Multi-tasking)

Ramai orang berbangga bahawa mereka mampu untuk 'multi-tasking' atau membuat beberapa kerja dalam satu masa. Namun anda sepatutnya menghentikan perkara ini. Apabila anda membuat beberapa kerja dalam satu masa, nilai IQ anda akan turun 15 mata bagi lelaki dan 5 mata bagi perempuan (lelaki adalah 3 kali lebih teruk dalam multitasking berbanding wanita). Jadi kerja yang dibuat adalah kurang berkualiti.

3. Buang atau Halang Perkara Yang Boleh Melalaikan

Apabila hendak menghabiskan sesuatu tugas, cuba tutup perkara lain yang boleh melalaikan. Contohnya, apabila anda sedang menyediakan 'sebut harga' kepada pelanggan anda, anda tidak seharusnya online di facebook pada masa yang saya. Kerja yang asalnya boleh disiapkan dalam 15 minit akan memakan masa 1 jam hasil dari perkara yang melalaikan.

4. Memeriksa dan membalas email

Elakkan melihat email setiap 5 minit. Sediakan masa 3 kali sehari untuk membaca dan membalas email.

5. Gunakan telefon

Email tidak seharusnya digunakan untuk berkomunikasi secara santai. Ia akan memakan masa yang lama. Anda boleh dengan mudah menelefon dan menghabiskan kerja yang sepatutnya ditanya dalam 5-10 email dalam masa 3 minit di telefon. Orang yang bercakap dengan anda juga, tidak ada pilihan untuk tidak menjawab soalan yang ditanya dengan terperinci.

6. Bekerja dengan Agenda dan Jadual tersendiri.

Jika anda ingat sewaktu di sekolah dahulu, semua kita mempunyai jadual. Jika tidak ada jadual, tidak mungkin cikgu mampu menghabiskan silibus setahun pengajaran tersebut. Samalah seperti dalam hidup kita kini, kita seharusnya mempunyai jadual ringkas untuk kita tidak rugikan masa. Rancang hari anda sehari atau seminggu sebelum itu.

7. Bekerja dalam fasa 1-1.5 jam

Jika anda bekerja, pastikan anda mengambil rehat 10 minit setiap sejam atau sejam setengah. Otak memerlukan rehat sedikit. Anda tentu pernah mengalami pengalaman berada dalam bilik mesyuarat lebih dari 1.5 jam. Anda akan merasa sangat letih. Anda akan menjadi tidak produktif jika tidak mempunyai rehat. Jadi pastikan anda mempunyai 10 minit untuk pergi berjalan-jalan, minum kopi atau melihat pemandangan.

Cinta Itu Nikmat Tetapi Awas

 Cinta itu suci. Namun kita sebagai remaja yang baru setahun jagung terjebak ke kancah percintaan yang memberi nikmat seketika tetapi ibarat duri dalam daging yang akhirnya memakan diri sendiri.

Ya, memang benar cinta itu buta, tetapi hakikatnya kita yang buta dan tuli mengenal apa itu erti cinta. Natijahnya kini, cinta yang dicanang sebagai sesuatu yang suci dinodai dengan titik-titk hitam kemungkaran dan kerendahan maruah segelintir kita yang bersifat bodoh sombong mendefinisikan cinta sebagai sebuah ikatan yang menghalalkan yang haram.

Siapa yang harus dipersalahkan?

Tepuk dada tanya Iman.

Sudah terang lagi bersuluh, lebih separuh daripada kita pernah terjerat dengan kenikmatan cinta itu sendiri. Tidak kiralah yang terpaksa, yang rela atau suka-suka.

Tanya diri kita sendiri, adakah kita menghormati cinta suci itu atau perasaan cinta yang menjalar dalam segenap inci tubuh badan kita ini menjadikan lesen untuk kita merendahkan maruah kita sebagai umat Islam yang berpegang kepada agama yang suci.

Remaja kini sudah tidak segan silu lagi melakukan perkara sumbang di hadapan khalayak ramai, dipaparkan dan dijadikan sorotan setiap hari.

Ternyata maruah kita seperti diperkotak-katikkan dengan kerakusan nafsu yang menjadi tuan dan raja sehingga kita diibaratkan seperti mengikut kehendak sendiri.

Keghairahan kita mengejar nikmat cinta sebenarnya menongkah arus tujuan kita diberi nikmat untuk menjadi dewasa. Matangnya kita bukan bererti kita matang untuk mengawal nafsu yang semakin beraja memerintah akal fikiran yang waras.

Buktinya, ramai antara kita yang semaki terdedah dengan gejala-gejala sosial. Maruah hilang entah ke mana, malu sudah tidak bertandang, takut kepada-Nya jauh sekali. Yang perempuan menggoda, yang lelaki tergoda.

Lemah sungguh kita sebagai manusia yang menjadi ciptaan Allah S.W.T yang paling mulia. Lebih parah pula apabila lelaki bersikap habis madu sepah dibuang. Yang perempuan pula bersikap pendek akal dengan cubaan membunuh diri. Padahal sikap mereka yang sebenarnya yang mendorong mereka menghancurkan hidup mereka sendiri.

Realitinya, mereka yang berjaya mempertahankan perasaan mereka daripada dinodai 'cinta monyet' merupakan mereka yang teguh pendirian dan berhati mulia kerana tidak bertindak untuk dinodai cinta suci itu.

Apakah kita tidak malu berpeleseran dengan pasangan kita?

Ditayang-tayang, ditunjuk-tunjuk ibarat 'show case' lagaknya. Kononnya mereka sahaja yang mempunyai pasangan. Padahal, tindakan kita ini ibarat meletakkan muka dipunggung sendiri. Maruah pula jatuh tergolek-golek.

Siapa yang suka apabila 24 jam asyik muka kita sahaja yang berkepit seperti suami isteri ke sana ke sini tanpa segan silu?

Hakikatnya, perasaan malu, mual, menyampah seperti menunjah-nunjah melihat perlakuan mereka yang sudah dibutakan dan ditulikan oleh nikmat cinta. Ibu bapa pula seperti sudah tidak mampu melarang keghairahan anak mereka daripada terus hanyut dalam dunia mereka sendiri.

Yang peliknya, ibu bapa buat-buat pejam mata sahaja apabila anak-anak mereka pergi dan balik menaiki satu kenderaan yang sama dengan lelaki-lelaki yang entah siapa-siapa.

Allah S.W.T telah menentukan jodoh kita sejak lahir lagi. Tidak perlulah kita berfikiran kolot dengan mengejar 'cinta monyet' yang bakal mengundang seribu satu masalah dan kedukaan yang tiada akhirnya. Tiada manusia yang mati andai cinta itu tidak hadir dalam hati.

Jika kita memang benar-benar ingin merasai nikmat cinta palsu itu, letakkanlah nafsu dan Iman kita di atas neraca timbang. Pastinya nafsu lebih berat daripada Iman kita.

Mahukah kita menggadaikan maruah kita yang tidak ternilai harganya ini hanya untuk menikmati perasaan ghairah bercinta yang bertindak hanya seketika?

Yang menanggungnya pastilah perempuan. Seronok dan nikmat sama dirasai, kenapa derita dipikul sendiri?

Lelaki juga harus bertanggungjawab kerana 'bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi'. Sebenarnya dua-dua bersalah, kenapa yang harus menanggung malu perempuan seorang. Jadilah anak jantan sejati 'berani buat, berani tanggung' bukannya mahu buat selepas itu lari tidak cukup tanah. Buat apa jadi lelaki kalau hanya sekadar lempar batu sembunyi tangan, lebih baik jadi lelaki lembut tetapi bertanggungjawab. Ini semua gara-gara cinta.

Tidak salah bercinta andai kita mampu mengawal nafsu serakah daripada menjadi tuan dan juga tidak berkelakuan jelek di hadapan orang ramai. Bagi mereka yang belum merasa nikmat cinta itu, berbanggalah kerana anda mempunyai harga diri yang tinggi. Jaga diri jangan terlalu dibuai perasaan hingga tergadai maruah.


Friday, 23 December 2011

Kurangkan Ketawa, Banyakkan Menangis

Firman Allah SWT melalui ayat 82 surah at-Taubah bermaksud: “Maka bolehlah mereka (golongan munafik) ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan (semasa hidup di dunia).” Dan dalam ayat 60 surah an-Najm yang bermaksud: “Maka mengapa kamu ketawa dan tidak menangis?”

Mesej daripada maksud dua potong ayat di atas walaupun pendek, sarat dengan pelbagai pengajaran yang perlu diambil oleh kita semua, betapa Allah SWT mencemuh golongan munafik yang boleh disifatkan sebagai golongan yang mana hidup mereka penuh dengan kepura-puraan.

Sesungguhnya kedua-dua ayat berkenaan di atas ditujukan kepada golongan munafik yang banyak mempersendakan kebenaran ayat-ayat al-Quran ataupun pengajaran daripada hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w. Mereka merupakan golongan yang menzahirkan luaran mereka sebagai orang Islam, tetapi pada sanubari mereka menyatakan kebencian yang amat sangat terhadap Islam, lebih dahsyat daripada orang bukan Islam.

Mereka menyatakan kononnya mahu melakasana dan menegakkan hukum-hukum Islam, tetapi pada masa yang sama menyubur serta memperbanyakkan program-program maksiat melalui penganjuran sitcom-sitkom gelak ketawa, malah dipertandingkan seperti ‘Rajalawak’/'Lawaking’ yang mahu mengajak penonton supaya banyak ketawa dan menangis sedikit.

Tidak ada program lawak yang mengajak manusia untuk berfikir pada alam akhirat atau menyebabkan mereka menangis. Tetapi yang jelas bahawa mereka diajak untuk ketawa hingga lupa tugas sebenar untuk beriman kepada Alla SWT, sesungguhnya terdapat pandangan di kalangan ulama kontemporari hari ini yang menegaskan bahawa umat Islam adalah umat serius yang mempunyai tanggungjawab besar menyeru manusia sejagat untuk kembali kepada fitrah mereka iatu menyembah Allah – Tuhan segala manusia.

Apa yang jelas jika ciri-ciri golongan munafik ada dalam diri insan Muslim, ia boleh dianggap sebagai satu musibah besar, kerana ciri-ciri tersebutlah yang akan mengundang kemarahan Allah dan sudah pasti tidak akan berjaya mendapatkan pertolongan Nabi Muhammad pada hari akhirat kelak.

Perkara ini ada ditegaskan Allah melalui firman-Nya dalam ayat 145 surah an-Nisaa yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.”

Berdasarkan hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad s.a.w mengatakan:
Tanda orang-orang munafiq itu ada tiga keadaan.
* Pertama, apabila berkata-kata, dia berdusta.
* Kedua, apabila berjanji, dia mengingkari.
* Ketiga, apabila diberikan amanah (kepercayaan), dia mengkhianatinya.


Amanah Daripada Allah
Apabila dilihat kepada maksud pengisian yang ada dalam hadis baginda di atas, kita dapat simpulkan bahawa masih terdapat di kalangan umat Islam hari ini yang sanggup berdusta semata-mata untuk mencapai impian dalam hidup mereka.

Mereka tidak mempedulikan larangan Allah atau suruhan-Nya, yang dilarang itulah menjadi keutamaannya untuk dilakukan, sedangkan suruhan Allah diabaikan. Gambaran ini dapat dilihat secara jelas, sebagai contoh penyertaan individu Muslim dalam program yang dilarang seperti Rajalawak, ia menjadi pilihan dan kesukaan ramai manusia hari ini, pada masa yang sama ramai juga yang meninggalkan solat kerananya.

Begitu juga individu Muslim yang berbuat janji, apatah lagi janji mereka kepada Allah seperti dalam lafaz yang diungkapkan dalam solat, sesungguhnya hidupku, matiku dan seluruh amal ibadatku adalah hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam.

Tetapi selepas solat, banyak perkara yang dijanjikan itu disanggah secara langsung atau tidak langsung, ramai Muslimat yang solat dengan pakaian kain telekung yang mencantikkah penampilan mereka, tetapi ramai juga di kalangan mereka mendedahkan aurat atau menampakkan rambut mereka di hadapan khalayak lelaki.
Begitu juga dengan amanah yang diberi, terutamanya amanah sebagai manusia Islam yang diwajibkan untuk melaksanakan segala titah perintah Allah SWT dalam erti kata sebenarnya. Tetapi ia hanya seruan yang tertinggal di atas mimbar oleh khatib pada setiap hari Jumaat, ia tidak digarap dengan baik oleh para jemaah, amanah untuk membangun bersama Islam tidak ditepatinya. Amanah untuk mendaulatkan Islam juga hanya retorik semata-mata, kesemua agenda hidup tidak berteraskan untuk kurangkan ketawa dan menangis banyak kerana takut kepada Allah.

Program-program kuliah dan ceramah di masjid-masjid atau surau-surau kebanyakannya dihadiri oleh golongan pesara walaupun terdapat golongan muda atau remaja, tetapi jumlahnya terlalu sedikit. Mungkin kempen kepada golongan ini untuk ke masjid atau surau tidak dikuat-kuasakan oleh pihak berkuasa, sebab mereka pun tidak terfikir untuk ke masjid atau surau, tetapi kempen untuk program ketawa seperti ?Jomheboh? dan lain-lain dipromosikan dengan hebat sekali, sebab yang berkempen pun akan menyertainya.

Yang Pahit Itu..
Kepada mereka dibacakan sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Kemanisan di dunia akan memahitkan nanti di akhirat, dan apa-apa yang memahitkan di dunia akan memaniskan seseorang itu di akhirat.”

Sesuatu yang manis pasti akan menggembirakan seseorang, seperti kerap makan durian yang sedap dan enak, tetapi ia akan menjadikan seseorang itu mungkin akan terkena obesiti dan kencing manis, berbanding dengan ubat periuk yang pahit, bagi pengamal yang sering meminumnya walaupun tidak sedap, tetapi ia menjanjikan kesihatan yang baik.

Begitulah sebaliknya bagi mereka yang mengutamakan yang pahit, maksudnya menjalani proses hidup sebgai Muslim yang beramal dengan solat lima kali sehari semalam. Ia menjadi manis bagi orang biasa buat, tetapi ia dianggap pahit atau sukar untuk dilakukan bagi mereka yang tidak biasa atau golongan yang memiliki ciri-ciri orang munafik.

Apapun semua yang pahit itu sebenarnya akan membahagiakan seseorang itu nanti di alam akhirat, termasuklah berada dalam jemaah yang berteraskan Islam. Untuk memajukan Islam sebagai cara hidup bukanlah satu perkara yang mudah, namun ia memerlukan kesabaran yang cukup tinggi dan kewarasan pemikiran untuk mendapatkan syafaat (rekomendasi) daripada baginda Rasulullah s.a.w. di akhirat kelat, Insya-Allah. Yang penting banyakkan menangis kerana takut kepada Allah SWT.

oleh : Ustaz Zainudin Hashim


Tuesday, 20 December 2011

Cover Buletin Badar 2012











Dosa Lebih berat Dari Zina

Dosa Yang Lebih Berat Daripada Zina!

Pada suatu senja yang lengang, terlihat seorang wanita berjalan terhuyung-hayung. Pakaianya yang serba hitam menandakan bahwa ia berada dalam dukacita yang mencekam.Kerudungnya menutup hampir seluruh wajahnya tanpa hias muka atau perhiasan menempel di
tubuhnya. Kulit yang bersih, badan yang ramping dan roman mukanya yang ayu, tidak dapat kesan kepedihan yang telah meroyak
hidupnya.Ia melangkah terseret-seret mendekati kediaman Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu perlahan-lahan sambil memberi salam.
Maka terdengarlah ucapan dari dalam, “Silakan masuk” Perempuan cantik itu lalu berjalan masuk sambil kepalanya terus merunduk. Air matanya berderai tatkala ia berkata, “Wahai Nabi Allah. Tolonglah saya. Doakan saya agar Tuhan berkenan mengampuni dosa keji saya.”
“Apakah dosamu wahai wanita ayu?” tanya Nabi Musa a.s. terkejut. “Saya takut mengatakannya.”jawab wanita cantik.. “Katakanlah jangan ragu-ragu!” desak Nabi Musa. Maka perempuan itupun terpatah bercerita, “Saya…telah berzina”. Kepala Nabi Musa terangkat,hatinya tersentak. Perempuan itu meneruskan, “Dari perzinaan itu saya pun… hamil. Setelah anak itu lahir,langsung
saya… cekik lehernya sampai… mati,” ucap wanita itu seraya menangis sejadi-jadinya.Nabi Musa berapi-api matanya. Dengan muka berang ia mengherdik, “Perempuan bejad, pergi kamu dari sini! Agar siksa Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!”… teriak Nabi Musa sambil memalingkan mata kerana jijik.Perempuan berwajah ayu dengan hati bagaikan
kaca membentur batu hancur luluh segera bangkit dan melangkah surut. Dia terantuk-antuk keluar dari dalam rumah Nabi Musa..
Ratap tangisnya amat memilukan. Ia tak tahu harus kemana lagi hendak mengadu.. Bahkan ia tak tahu mahu dibawa kemana lagi kaki-kakinya. Bila seorang Nabi saja sudah menolaknya, bagaimana pula manusia lain bakal menerimanya? Terbayang
olehnya betapa besar dosanya, betapa jahat perbuatannya.Ia tidak tahu bahwa sepeninggalnya, Malaikat Jibril turun mendatangi Nabi Musa. Sang Ruhul Amin Jibril lalu bertanya, “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu dosa yang lebih besar daripadanya?” Nabi Musa terperanjat. “Dosa apakah yang lebih besar dari kekejian wanita pezina dan pembunuh itu?”Maka Nabi Musa dengan penuh rasa ingin tahu bertanya kepada Jibril. “Betulkah ada dosa yang
lebih besar daripada perempuan yang nista itu?” “! Ada!” jawab Jibril dengan tegas.“Dosa apakah itu?” tanya Nabi Musa. “Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar dari pada seribu kali berzina”.Mendengar penjelasan ini Nabi Musa kemudian memanggil wanita tadi untuk menghadap kembali kepadanya. Ia mengangkat tangan dengan khusuk untuk memohonkan ampunan kepada Allah untuk perempuan tersebut. Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama saja seperti berpendapat bahwa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu atas dirinya. Bererti ia seakan-akan menganggap remeh perintah Tuhan, bahkan seolah-olah menganggap Tuhan tidak punya hak untuk mengatur dan memerintah hamba-Nya. Sedang orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan sungguh-sungguh bererti masih
mempunyai iman di dadanya dan yakin bahwa Allah itu ada, di jalan ketaatan kepada-Nya. Itulah sebabnya Tuhan pasti mahu menerima kedatangannya. Demikianlah kisah Nabi Musa dan wanita pezina dan dua hadis Nabi, mudah-mudahan menjadi pelajaran bagi kita dan timbul niat untuk melaksanakan kewajiban solat dengan istiqomah.

Thursday, 8 December 2011

Bila Masuk 40 . . .


Hari ini genaplah umur saya 40 tahun. Ramai kawan-kawan yang ucapkan selamat hari lahir. Saya juga mengucapkan selamat kepada semua.

Kalau umur saya panjang sehingga 80 tahun, maknanya saya sudah separuh usia. Jika 60 tahun, maknanya sudah 3/4 perjalanan hidup ini saya lalui. Jika 45 tahun, maknanya usia ini sudah sampai ke senja hari,tidak lama akan mengadap Allah menjawab segala persoalan dan amanah sebagai hamba-Nya.

Seringkali usia 40 tahun dikaitkan dengan pelbagai perkara; kematangan, kestabilan, kesempurnaan dan selalu juga dikaitkan dengan 'permulaan zaman meragam'. Moga 40 saya ini adalah usia yang membawa kepada bertambahnya belas ihsan Allah kepada saya. Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Seseorang hamba muslim itu apabila mencecah usia 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya. Apabila mencecah usia 60 tahun, Allah akan mengurniakan perasaan berserah kepadaNya. Apabila mencecah usia 70 tahun, penduduk langit akan mencintainya. Apabila mencecah usia 80 tahun, Allah akan kukuhkan kebaikannya dan menghapuskan dosanya. Apabila mencecah usia 90 tahun, Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lampau dan yang akan datang, mengurniakannya syafaat buat ahli keluarganya dan ditulis di langit sebagai tahanan Allah di atas muka bumi." (Riwayat Imam Ahmad)

Kematian adalah kepastian yang tidak boleh diubah. Di tangan manusia ikhtiar untuk menentukan bentuknya. Bakti dan jasa adalah sedekah jariah selain infaq harta dan doa anak soleh. Hari-hari yang berlalu menghampirkan saya kepada kematian, moga Allah kurniakan semangat untuk terus menabur jasa dan bakti.

Muslim yang soleh seimbang di dalam persediaan menghadapi kematian dan gejolak semangat perasaan untuk terus hidup menabur budi.

A Guide To Proper Hijab For Ladies











Muslimah – Nazrey Johani

Oh muslimah
Allah cinta kepadamu
Rasulullah kasih kepadamu

Oh muslimah
Berbahagialah kau telah dilahirkannya dengan mulia

Subhanallah
Tuhan telah berkati wanita yang cukup ilmu
Rendah hati

Oh muslimah
busanamu menutup rapi
auratmu kau lindungi dengan indahnya

Oh muslimah
kau rajin memuji
Islam kau jadikan ikutan sejati

Oh muslimah
memandangmu menyejuk hati
menundukkan nafsu hati yang goyah
Keayuan wanita solehah indah peribadi
Tulus hatinya

Oh muslimah
Kecantikan yang sebenar
Pada tutur kata penuh berhikmah

Mempertahan kehormatan dirimu
dengan pakaian mentaati Allah

Oh muslimah
Kau masuk ke syurga
Solat lima waktu dan berpuasa
Menundukkan pandangan matamu
Mentaati suami yang tercinta

Oh muslimah
Kau rajin mengaji
Islam kau jadikan
Ikutan sejati

Saturday, 3 December 2011

Teknologi Maklumat: Blogger = Da’ie – Ciri-ciri Blog Yang Baik


Kita meneruskan lagi perkongsian kita dalam Blogger = Da’ie ini. Kali ini, sampai ke bahagian yang saya ingin kongsikan tips. Ya. Tips.

Tips-tips Blog Yang Baik.

Sebagaimana manusia yang baik itu ada ciri-cirinya, maka blog yang baik juga sedemikian.

Di sini, saya ingin berkongsikan berkenaan hal itu. Apa-apa pun, sebelum memulakannya, saya suka hendak menyatakan bahawa, ciri-ciri blog yang baik ini adalah daripada pandangan saya semata-mata. Bukanlah saya rujuk daripada mana-mana bahan bacaan.


Ciri Pertama: Blog Tidak Berwarna Mencucuk Mata.

Kadangkala kita berfikir bahawa, blog yang berwarna warni itu cantik. Sebenarnya tidak semua warna akan mencantikkan blog.

Blog yang baik adalah yang senang mata memandang. Sebab itu, kebanyakan blog yang menarik, adalah yang blog yang tidak terlalu banyak menggunakan warna pada layout asasnya.

Warna yang terbaik hakikatnya adalah warna putih keseluruhan, atau hitam keseluruhan.

Bukan warna merah terang, kuning terang, hijau terang dan sebagainya yang menyakitkan dan memedihkan mata.


Ciri Kedua: Tulisan Mudah Dibaca

Kadangkala, ada yang menyangka, jika tulisannya bersimpul-simpul, maka lebih cantik. Sebenarnya tidak.

Apabila membaca, pembaca ingin memahami. Jadi untuk membantu pembaca itu ingin memahami apa yang kita sampaikan, kita perlu kurangkan stress mereka ketika membaca. Antara caranya adalah dengan memberikan tulisan yang mudah difahami oleh mereka.

Kerana itu, sebaik-baik jenis font adalah font calibri. Simple. Kemas. Menarik.

Kemudian janganlah kita warna-warnikan tulisan kita, kita letakkan warna latar pada tulisan kita. Itu semua memeningkan pembaca dan menyakitkan mata.

Kalau background hitam, letaklah warna putih. Kalau background putih, letaklah warna hitam. Begitu sahaja sudah cukup menarik sebenarnya.


Ciri Ketiga: Tidak Mempunyai Music Box dan gambar-gambar yang tidak penting.

Hari ini seperti sudah menjadi trend untuk ramai blogger meletakkan ‘music box’ pada blog mereka. Kononnya sebagai halwa telinga. Ada yang letak lagu-lagu, ada yang letak nasyid, ada juga yang letak Al-Quran.

Saya yakin, ramai sahaja yang berniat baik apabila meletakkan semua itu. Tetapi sebenarnya, antara ciri-ciri blog yang baik pada saya adalah yang tidak mempunyai langsung kesemua itu. Pendek kata, tidak mempunyai Music Box. Mengapa?

Sebab pertama: Kadar kelajuan internet setiap orang tidak sama. Jadi, bagi yang berkelajuan internet perlahan, music box anda akan kedengaran tersekat-sekat. Ini menganggu ketenangan pembaca.

Sebab kedua: Mungkin pembaca tidak meminati lagu yang anda mainkan itu. Lantas dia tidak suka melawati blog anda hanya kerana apa yang anda mainkan itu tidak kena dengan minatnya.

Sebab ketiga: Ada pembaca memang suka membaca dalam keadaan senyap tanpa apa-apa bunyi. Jadi bila blog anda ‘berbunyi’, mereka akan rasa rimas dan meluat.

Maka pilihan yang terbaik adalah, tidak perlu ada langsung semua itu.

Kemudian, blog yang baik tidak mempunyai gambar-gambar yang tidak penting. Kalau kita pergi ke kebanyakan blog-blog, kita akan perhatikan ramai yang suka letak pelbagai gambar. Gambar artis ada, gambar ulama’ ada, gambar keluarga ada, gambar logo NGO yang dia sertai pun ada.

Baik. Untuk saya, semua itu tidak perlu. Serabut.

Gambar artis – Ada pembaca anda mungkin suka, ada yang mungkin tidak suka. Ada pula yang hanya akan melihat anda sebagai blogger yang tidak matang apabila menggantungkan gambar-gambar artis pada blog anda.

Gambar ulama’ – Ada pembaca mungkin fanatik dengan ulama’-ulama’ tertentu dan tidak bersetuju dengan ulama’-ulama’ kesukaan anda. Lantas tidak melawati blog anda hanya kerana melihat anda menggantung gambar ulama’ bukan kegemaran mereka. Ada pula pembaca, lihat sahaja gambar-gambar ulama’ yang bertimbun pada blog anda, terus rasa inferior dan merasakan blog itu hanya untuk orang-orang agama sahaja.

Gambar keluarga – Ada orang rasa, itu terlalu personel. Buat apa tayang-tayang di sidebar. Mereka bukan hendak tengok pun. Gambar itu hanya bermakna untuk anda sahaja. Melainkan ayah dan mak anda, atau ahli keluarga anda itu berblog juga dan menjadi tempat rujukan mereka pula.

Gambar NGO yang disertai – Pun tidak perlu sebenarnya. Ini hanya akan mengurangkan kumpulan pembaca anda. Dan blog anda tidak akan kelihatan ‘umum’, tetapi lebih kelihatan hanya untuk yang ‘sekepala’ dengan anda.

Jadi, untuk menjadi sebuah blog yang baik, website yang baik, kita tidak perlu letak apa yang tidak perlu. Yang tidak perlu ini hanya akan menambah keserabutan sahaja.


Ciri Keempat: Kemas. Menarik. Teratur. Mudah.

Lagi, blog yang terbaik adalah blog yang kemas, teratur, dan mudah untuk pelawat berurusan dengannya.

Post-postnya tidak lewah ke bawah. Ada ‘read more’, dan tidak terlalu banyak post ditunjukkan pada HOME. Mungkin kadar yang sesuai adalah sekitar tiga ke lima post sahaja.

Sidebarnya teratur dan mudah. Ada gambar penulis sebaik-baiknya, ada diskripsi ringkas berkenaan profil tuan punya blog contohnya, ada link-link rakan blogger yang lain, ada shoutbox untuk orang berziarah meninggalkan jejak, dan di sidebar ada update post terkini, atau komen terkini. Semua itu disusun dengan baik. Pelawat pula mudah berurusan dengannya, tidak pening, tidak ‘tersesat’ di dalam blog itu dan sebagainya. Mudah untuk mereka bergalih dari satu post ke satu post contohnya. Mudah bagi mereka untuk pulang ke HOME contohnya. Tidak perlu hingga keluar beberapa tetingkap hanya di blog anda sahaja.

Blog yang baik juga mestilah menarik.

Post-postnya tidak berada di ruangan yang sempit. Post-postnya mempunyai gambar entri yang menarik, cantik. Blog itu mempunyai ‘header’ yang menarik dengan bannernya yang cantik. Melambangkan identiti blog/website tersebut. Bukan semata-mata ‘pakai letak’ sahaja atau ‘sekadar ada nama di situ’ semata-mata.

Rupa blog anda, melambangkan pentingnya penyampaian anda sebenarnya.


Penutup: Ibarat Peribadi Yang Baik, menarik orang ke arahnya. Blog yang baik juga . . .

Ibarat peribadi yang baik, kemas, bersih, yang semestinya menyenangkan orang yang memandang, menarik orang untuk mendekat dan merapat, seperti itulah blog yang baik berperanan.

Blog Yang Baik, akan menarik orang. Akan membuatkan orang suka untuk berada di dalam blog itu dan membaca artikel-artikelnya.

Apatah lagi seorang blogger=da’ie.

Blognya mestilah yang paling kemas, teratur. Kerana dia sedang membawa kalam Ilahi.

Apakah seorang da’ie patut kelihatan tidak teratur dan berserabut?

Mari sama-sama kita lihat semula blog kita.

Bergerak untuk mempraktiskan ciri-ciri blog yang terbaik ini.



Adakah Blog BADAR SMKA Slim River menepati semua ciri yang digariskan oleh Akhi Hilal Asyraf ? Jom check.

 Ciri Pertama: Blog Tidak Berwarna Mencucuk Mata.
 Ciri Kedua: Tulisan Mudah Dibaca
 Ciri Ketiga: Tidak Mempunyai Music Box dan gambar-gambar yang tidak penting.
 Ciri Keempat: Kemas. Menarik. Teratur. Mudah.


Blog anda bila lagi? Jom Berubah . . .

Thursday, 1 December 2011

Fadhilat Puasa Sunat Asyura'. Jom Puasa.

Hari ‘Asyura merupakan hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram. Rasulullah S.A.W telah menggalakkan umat Islam agar berpuasa pada hari ini kerana ia mempunyai kelebihan yang tersendiri disamping kelebihan bulan Muharram itu sendiri.10 Muharram juga telah mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk renungan kita bersama iaitu pada hari inilah nabi Musa dan pengikutnya telah diselamatkan oleh Allah daripada musuh mereka.


Pada hari ini juga tercatat peristiwa pahit dalam sejarah Islam iaitu pembunuhan kejam ke atas tubuh yang mulia Sayyidina Husin yang merupakan cucu kesayangan Rasulullah S.A.W di bumi Karbala. Pembunuhan yang kejam ini dilakukan oleh Syiah Kuffah bukannya oleh tentera Yazid bin Mu’awiyah sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak. Walaupun adanya mazhab Syiah yang menyatakan bahawa pada hari ini tidak boleh berpuasa kerana kita semua mesti bersedih dengan pembunuhan Sayyidina Hussin pada 10 Muharram. Kita jawab balik kepada pendapat mereka bahawa kita semua disunatkan berpuasa pada setiap hari Isnin sedangkan pada hari Isnin merupakan hari kewafatan junjungan besar Muhammad S.A.W yang lebih besar kesedihannya tetapi kita semua tetap berpuasa sunat pada hari tersebut. Insya Allah kita akan kupas mengenai peristiwa Karbala ini dalam ruangan khas pada keluaran akan datang.

Disini dibawa beberapa hadis yang sohih mengenai kelebihan berpuasa pada 10 Muharram yang dikenali sebagai hari ‘Asyura.

Daripada Ibnu Abbas telah berkata : Apabila Rasulullah S.A.W tiba di Madinah maka baginda telah melihat orang yahudi berpuasa pada hari kesepuluh (Muharram) maka baginda bertanya yang bermaksud : Apakah ini?. Maka jawab mereka : Ini merupakan hari yang baik yang mana pada hari inilah Allah SWT menyelamatkan bani Israel daripada musuh mereka maka nabi Musa berpuasa pada hari ini. Maka sabda baginda S.A.W : Maka aku lebih layak dengan nabi Musa daripada kamu maka baginda berpuasa pada hari ini. Dan baginda menyuruh untuk berpuasa pada hari ini. (Telah dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Daripada Abdullah bin Ma’bad az-Zamani daripada Abu Qatadah bahawa nabi s.A.W telah bersabda yang bermaksud : Berpuasa pada hari ‘Asyura (kesepuluh Muharram) sesungguhnya aku mengharapkan atas Allah SWT bahawa Dia akan menghapuskan dosa setahun yang sebelumnya. (Diriwayatkan oleh imam Tarmizi)

Daripada Ibnu Shihab daripada Hamid bin Abdul Rahman bahawa dia telah mendengar Mu’awiyah bin Abu Sufian berucap pada hari ‘Asyura tahun haji di atas mimbar : Wahai penduduk Madinah! Dimanakah ulama’ kamu? Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Ini adalah hari ‘Asyura dan Allah tidak mewajibkan ke atas kamu berpuasa. Aku berpuasa (pada hari ini) maka sesiapa yang mahu berpuasa berpuasalah dan sesiapa yang mahu (berbuka) maka berbukalah. (Dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Hadis ini menjelaskan kepada kita berkenaan dengan kelebihan berpuasa pada hari ‘Asyura. Ulama’ juga berpesan agar kita turut berpuasa pada hari kesembilan Muharram bagi membezakan antara puasa kita dengan yahudi yang berpuasa pada hari kesepuluh Muharram.Yahudi berpuasa pada hari tersebut kerana pada 10 Muharamlah nabi Musa dan pengikutnya diselamatkan daripada Firaun dan tenteranya yang zalim. Hukum berpuasa pada hari ini adalah disunatkan bukannya satu kewajipan. Siapa yang mahu berpuasa maka bolehlah berbuat demikian dan ganjaran yang besar dijanjikan kepada mereka yang berpuasa pada hari ini iaitu diampuni segala dosanya pada tahun-tahun yang lalu.Semoga kita dapat menggunakan segala peluang yang ada untuk menambahkan amalan sebagai bekalan di akhirat nanti.

Niat Puasa Bulan Muharram (Puasa ’Asyura)


Cool Neon Green Outer Glow Pointer

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...