Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Friday, 16 September 2011

Ciri-ciri Badan Dakwah Yang Cemerlang



1. Syura

Syura maksudnya bermesyuarat ataupun berbincang. Walaupun mesyuarat biasa digunakan dalam istilah Melayu, namun yang dimaksudkan syura dalam Islam bukan seperti perbincangan seperti yang difahami dengan perkataan mesyuarat, bahkan maksudnya lebih dan jauh daripada itu. Ini disebabkan syura mempunyai ciri-ciri dan disiplin tertentu seperti yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW dengan para sahabat. Firman Allah tentang syura ini: 

والذين استجابوا لربهم وأقاموا الصلاة وأمرهم شورى بينهم ومما رزقناهم ينفقون


maksudnya: Dan bagi orang-orang yang mematuhi seruan Tuhannyadan dan mendirikan solat sedangkan di dalam urusan hidup, mereka syura sesama kalangan mereka dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang telah kami kurniakan. 

Firman-Nya lagi:


وشاورهم فى الأمر فإذا عزمت فتوكل على الله


maksudnya: dan bersyuralah di kalangan kamu dalam sesuatu perkara, dan apabila kamu telah berazam (dengan sebenar-benar azam) maka bertawakkalah kepada Allah.

Saidina Ali KWJ pernah berkata:

“Syura itu punca hidayah, dibimbangi orang yang hanya berpegang kepada pendapatnya sendiri. Maka bertadabbur sebelum beramal itu menyelamatkan kamu daripada penyesalan ” 


Ibnu Arabi pula berkata:
“Mesyuarat itu mendekatkan anggota jamaah, membersihkan akal, membawa kepada kebenaran dan sesiapa di kalangan kamu yang bermesyuarat akan mendapat petunjuk. ”

Prinsip Asas Syura
a) Tidak boleh sama sekali membincangkan perkara-perkara yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. 
b) Tidak boleh sama sekali hasil atau keputusan mesyuarat bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

Perkara-perkara Penting Berkaitan Dengan Syura
1.Ahli-ahli syura mestilah memberikan pandangan mengikut kepakaran atau kelebihan dalam bidang masing-masing.
2.Mestilah serius dan menumpukan perhatian dalam sesi perbincangan
3.Mengemukan hujah-hujah dengan jelas. Sekiranya perlu kepada dalil         Al-Quran dan Hadis, itu lebih baik.
4.Seimbang antara kesan jangka pendek dan jangka panjang. (mengikut suasana)
5.Ahli korum harus mencukupi
6.Tempat yang selesa dan waktu yang sesuai (ikut suasana)
7.Tidak mempertikaikan keputusan selepas syura diputuskan
8.Bersikap terbuka apabila pandangan atau cadangan tidak diterima.
9.Istighfar sekiranya pandangan atau cadangan diterima.
10.Tidak melanggar apa yang telah disyurakan walaupun terdetik di dalam hati keputusan yang telah diputuskan ada kecacatan. Namun keputusan boleh berubah sekiranya keadaan amat mendesak atau perlu berbincang semula untuk mengubah keputusan syura
11.Perlu yakin syura membawa rahmat
12.Segala yang diperbincangkan perlu dicatit

2. Manhaj Tarbiyyah Yang Mantap

Yang dimaksudkan dengan tarbiyyah yang mantap ialah seperti yang telah disebutkan dalam faktor-faktor kejayaan di atas.

3. Menjaga Kerahsiaan dan Hazar Dalam Pergerakan

Kerahsiaan dan Hazar merupakan perkara yang amat penting dalam gerakan badan dakwah terutamanya dalam tempoh Islam belum didaulatkan lagi (masih belum berkuasa). Di sini penulis akan memberikan beberapa kesan akibat tidak menjaga rahsia dan hazar.

1.Perancangan akan diketahui oleh musuh kita dan memudahkan mereka untuk memerangi kita.
2.Strategi serta teknik dakwah akan mudah dipatahkan.
3.Timbul sikap buruk sangka antara pimpinan dan anak buah
4.Timbul sikap ‘escapisme’ dan hilang kerjasama sesama ahli dalam melaksanakan program
5.Hilang wala’ terhadap pimpinan
6.Matlamat sesuatu program tidak tercapai
7.Timbul permusuhan sesama ahli 


4. Muhasabah


Muhasabah dalam istilah lainnya ialah post mortem ataupun semak kembali terhadap segala program atau aktiviti yang telah dijalankan. Dengan muhasabah, segala kelemahan dan kekurangan dapat di kesan dan seterusnya diperbaiki untuk masa-masa akan datang. Selain itu, muhasabah memberi ruang untuk tegur-menegur sesama ahli dalam keadaan yang terbuka dan beradab serta memudahkan penelitian terhadap program yang telah dijalankan. Di samping dapat menjalinkan ukhuwwah, muhasabah akan menyebabkan kita rasa insaf dengan kelemahan yang ada di kalangan kita.

5. Mengikuti Perkembangan Semasa

Sesebuah badan dakwah perlu mengikuti perkembangan suasana yang berlaku. Ini disebabkan suasana dan perkembangan yang berlaku di sekeliling amat mempengaruhi suasana pelajar terutamanya dalam proses menyampaikan kefahaman Islam kepada pelajar. Antara kepentingan mengetahui perkembangan semasa :

a) mengetahui penderitaan umat Islam di seluruh dunia dan memberi keinsafan kepada kita untuk terus berusaha menegakkan Islam
b) memahami dan mengetahui perancangan jahat orang kafir terutamanya Yahudi dan Kritian untuk merosakkan Islam. Lantas kita berusaha mengelakkan serangan tersebut serta menjawab segala persoalan-persoalan yang dilontarkan.
c) Para pelajar terus berminat dengan method dan cara penyampaian dakwah. Ini kerana peringkat remaja adalah peringkat yang suka mencuba dan menyesuailan diri dengan suasana yang wujud di sekelilingnya
d) Tidak tertipu dengan helah dan taktik orientalis dan golongan Islam yang menjadi alat kepada orang kafir.
e) Bersedia membuat perubahan terhadap suasana yang berlaku ke arah yang lebih baik

6. Bersedia Menerima Perubahan

Badan Dakwah juga perlu sentiasa bersedia menerima perubahan. Perubahan yang dimaksudkan ialah dari segi gerak kerja, manhaj, cabaran serta method dakwah. Ini disebabkan dakwah Islam itu sendiri bersifat Murunah iaitu fleksibel.

Justeru, dengan sifatnya yang begitu, memudahkan lagi proses untuk memberikan kefahaman kepada para pelajar tentang Islam serta penghayatannya secara praktikal.  Contohnya seperti apabila sesebuah sekolah telah memasang internet dalam urusan perhubungan mereka, maka badan dakwah perlu bertindak untuk mengambil manfaat daripadanya. Email, chatting, homepage serta networking perlu dipelajari dan digunakan bagi kepentingan badan dakwah.

7. Mempunyai Perancangan Jangka Pendek Dan Panjang

Perancangan jangka pendek ialah perancangan dalam tempoh sehari, seminggu atau sebulan mengikut bentuk program dan matlamat yang ingin dicapai. 

Perancangan jangka panjang ialah merancangan untuk mencapai sesuatu matlamat bagi tempoh setahun, 2, 5, 10, 15 atau 20 tahun. Namun ia bergantung pada kesesuaian sesebuah sekolah.  Perancangan jangka pendek dan jangka panjang haruslah mempunyai kaitan dan kesinambungan antara satu sama lain. 

Ini di sebabkan semua program atau perancangan mempunyai matlamat yang satu iaitu menegakkan daulah Islam dan kalimah Allah di muka bumi. Justeru, bagi menjayakan kedua-dua bentuk perancangan ini, perlu ada kesinambungan hubungan antara satu generasi ke satu genarasi yang lain. Hinggalah matlamat yang agung tersebut tercapai dalam keadaan perancangan jangka pendek dan panjang itu bersifat sementara kepada matlamat mencapai daulah tadi.


No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.
Segala komen membina sangat digalakkan untuk sebarang penambahbaikan dan perkongsian idea.

Cool Neon Green Outer Glow Pointer

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...